KUALA LUMPUR: Sebanyak 3,108 kes baharu COVID-19 direkodkan pada Ahad menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara ini sebanyak 2,718,959 kes setakat ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Sebahagian besar daripada jumlah kes baharu melibatkan pesakit kategori 1 dan 2 iaitu sebanyak 3,051 kes atau 98.2 peratus.

Selebihnya, 1.8 peratus atau bersamaan 57 kes adalah pesakit kategori 3, 4 dan 5.

Manakala, kes sembuh hari ini adalah sebanyak 3,701 kes sekali gus menjadikan angka kumulatif sembuh 2,634,381 kes.



Sementara itu, menurut data di laman sesawang COVIDNOW, sebanyak 29 kematian dilaporkan setakat tengah malam Sabtu, menjadikan jumlah kematian terkini mencecah 31,073 kes.

Daripada angka kematian baharu, tujuh melibatkan kes kematian di luar hospital atau brought-in-death (BID). Sebanyak 6,282 kes BID dilaporkan sehingga Jumaat.