ALOR GAJAH: Seramai 3,275 graduan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) akan diraikan pada Majlis Konvokesyen UTeM Ke-17 bermula 14 hingga 17 Mac ini wajib melakukan ujian kit ujian pantas (RTK) Antigen COVID-19.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM, Prof Ir Dr Ghazali Omar berkata, UTeM memandang serius aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan setiap graduan yang diraikan wajib untuk melakukan ujian RTK sehari sebelum menghadiri konvokesyen.

Bagi memastikan kelancaran majlis itu, UTeM akan menyediakan sebanyak 2,000 kit ujian kendiri COVID-19.

Menurutnya, ujian kendiri itu akan dilakukan secara rambang terhadap individu yang gejala agar majlis berjalan seperti yang dirancang.

“Graduan, ibu bapa atau penjaga yang datang konvokesyen diminta membuat ujian RTK, tunjukkan bukti kepada pengawal keselamatan di pintu utama dan baru mereka dibenarkan masuk.

"Kami juga ada perkhidmatan kesihatan di dewan konvokesyen, jika ada yang gejala kita akan asingkan di tempat disediakan bagi memastikan konvokesyen selama empat hari berjalan lancar," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, majlis itu akan menyaksikan seramai 61 graduan menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), dua graduan menerima Ijazah Doktor Kejuruteraan, 194 graduan (Ijazah Sarjana), 2,525 graduan (Ijazah Sarjana Muda) dan 493 graduan menerima Diploma.

Ujar beliau, konvokesyen kali ini akan melahirkan lebih ramai graduan berbanding konvokesyen yang lalu merekodkan seramai 2,979 orang graduan.

Katanya, pada kali ini UTeM turut memperkenalkan anugerah khas baharu, iaitu Anugerah Khas Huffaz Profesional dan penerimanya merupakan seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik Dengan Kepujian.

"Selain itu juga Anugerah Profesor Emeritus yang diberikan kepada Datuk Ismail Hassan sebagai tanda penghargaan beliau telah berjasa kepada UTeM yang dilantik sebagai Naib Canselor pertama UTeM pada tahun 2007 hingga 2008.

"Penganugerahan Ijazah Doktor Falsafah secara Aegrotat dan penganugerahan Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana secara Anumerta juga akan diberikan kepada penerima pada majlis itu," katanya.


*Berita asal di Sinar Harian