JOHOR BAHRU: Tiga beranak maut dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan lori di Jalan Persiaran Tanjung Tampoi di sini, pada Ahad.

Mangsa yang maut ialah penunggang dikenali sebagai Mohammad Shahril Abdullah, 38; isterinya, Habsah Jailani, 41 dan anak mereka, Muhammad Dany Lukman Naim Abdullah, 10.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Mohd Suhaimi Abdul Jamal berkata, Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan jam 4.47 petang dan menghantar anggota ke lokasi.

"Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian didapati terdapat kemalangan jalan raya melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha LC dengan sebuah Lori Mitsubishi Fuso.

"Penunggang dan pembonceng telah disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM. Bagaimanapun pemandu lori berusia 30 tahun selamat.

"PKO bertindak membantu mengangkat dan menyerahkan mangsa yang terlibat kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superitenden Fariz Ammar Abdullah berkata, kemalangan dipercayai terjadi apabila motosikal mangsa merempuh belakang lori ketika berhenti di lampu isyarat merah di Jalan Persiaran Tanjung (arah Jalan Tampoi).

"Ketika kejadian lori tersebut sedang berhenti di lorong tengah semasa lampu isyarat merah.

"Akibat kemalangan itu suami, isteri dan seorang anak lelaki berumur 10 tahun meninggal di lokasi  kejadian kerana mengalami kecederaan parah di pelbagai bahagian tubuh badan.

"Kesemua mayat dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk tindakan lanjut," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.