Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya meletakkan sasaran kunjungan 30 juta pelancong antarabangsa dan domestik ke dalam negara pada Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata selaras dengan itu Kementerian Pelancongan telah merancang pelbagai strategi utama bagi menjayakannya, dengan peruntukan awal RM50 juta disediakan.

"Perancangan yang kita buat sekarang ini ialah kita banyak fokus kepada sektor pelancongan eko dan budaya dan sebagainya. Malaysia memang kaya dengan alam semulajadi, budaya, warisan, pelbagai makanan istimewa, taman tema, pusat membeli-belah dan sebagainya yang dapat menarik kunjungan pelancong.

"Antara negara yang kita beri tumpuan dalam menarik kehadiran mereka ialah negara-negara Eropah, India, Rusia, China, Korea dan Jepun," katanya kepada pemberita selepas program Titik Sentuhan: Pemimpin Bersama Rakyat sempena Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina 2019 di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), Sikamat di sini, pada Ahad.

"Kita sedar persaingan sektor pelancongan di antara negara Asean. Oleh itu, promosi kita adalah untuk mendapatkan pelancong yang lebih berkualiti. Salah satu strategi pemasaran kita, antaranya kita akan mengambil bahagian ekspo terbesar pelancongan di Berlin pada 5 Mac ini untuk promosikan negara Malaysia," tambahnya.

Sementara itu, Muhammad Bakhtiar berkata Kementerian Pelancongan bukan hanya memberi tumpuan kepada pelancong luar tetapi juga pelancong domestik.

"Pelancongan domestik ini seperti kita galakkan orang Negeri Sembilan pergi melawat Pulau Pinang, atau orang Kelantan melawat Sabah dan Sarawak dan begitu juga di negeri lain. Oleh itu, kita mahu kembangkan pelancongan domestik. Sektor pelancongan menyumbang 15 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Pada majlis itu 100 orang termasuk 18 orang warga PAWE yang terdiri daripada Orang Kelainan Upaya (OKU) menerima sumbangan berbentuk 'hamper' dan 'angpau' Tahun Baru Cina.