ALOR SETAR: Kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan penduduk berusia 18 tahun ke atas di daerah Kota Setar telah membuat pendaftaran bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) fasa kedua bermula hari ini dan fasa ketiga yang dijangka bermula Julai depan.

Pengerusi Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) Daerah Kota Setar, Datuk Mohd Asri Redha Abdul Rahman berkata, pihaknya turut menggiatkan usaha dalam meningkatkan peratusan berkenaan terutama penglibatan kumpulan sasar iaitu golongan warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Mengulas mengenai pengoperasian Pusat Pemberian Vaksin (PPV), beliau berkata, seramai 1,577 individu yang majoritinya warga emas dan OKU akan menerima suntikan vaksin dalam tempoh empat hari terawal di PPV Stadium Tertutup Sultan Abdul Halim, Suka Menanti bermula hari ini.

Beliau yang juga Pegawai Daerah Kota Setar berkata, PPV berkenaan juga akan menjadi penanda aras kepada tiga lagi PPV lain di daerah berkenaan yang dijangka beroperasi sepenuhnya secara berperingkat menjelang fasa ketiga.

Menurut Asri, pihaknya turut membuat persiapan rapi di kesemua PPV terutama di stadium tertutup terutama dari segi logistik dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan petugas Kementerian Belia dan Sukan.

"Setakat yang saya tengok 30 peratus itu lebih daripada 18 tahun ke atas… ada peningkatan. Macam semalam dapat 548 orang (mendaftar dalam satu hari), hari ini mungkin meningkat lagi (jumlah pendaftaran).

"Saya sendiri terlibat secara langsung masuk ke kawasan-kawasan kampung dan kawasan mana yang ada aktiviti-aktiviti dengan JPKK, kita akan pergi setiap kali ceramah atau perjumpaan dialog, kita minta pegawai-pegawai selitkan tentang keperluan untuk kita mendaftar dalam Mysejahtera ataupun dalam website untuk (individu yang) nak diberi suntikan," kata beliau.

Sementara itu, seorang penerima vaksin, Azizah Lat, 85, berkata dia diyakinkan cucunya yang juga jururawat bagi mengambil suntikan vaksin bagi mengelak berisiko dijangkiti virus COVID-19.

Azizah berharap suntikan yang diambil itu dapat memudahkannya melakukan aktiviti seperti kebiasaan termasuk bertemu dengan anak-anak yang ketika ini masih tidak dibenarkan untuk merentas negeri.

"(Proses) berjalan (seperti) biasa sahaja (dan) tak susah pun tadi, suntikan tak sakit biasa saja, Insya-Allah lah kalau anak-anak nak balik (kampung) pun tidak mengapa (untuk risiko sebab sudah buat suntikan), harap (nanti) boleh cakap pada kawan-kawan semua kata cucuk bukan sakit sangat, macam biasa saja,” kata Azizah kepada Astro AWANI.

Dua lagi penerima vaksin COVID-19 pula mengetahui mengenai program berkenaan selepas diberitahu anak masing-masing yang turut membantu mendaftarkan nama mereka melalui aplikasi MySejahtera.

Mereka turut berharap agar lebih ramai golongan warga emas dan OKU untuk mendaftar agar dapat melicinkan proses pemberian vaksin kali ini.

"Semua bagus (proses suntikan vaksin), sikit pun tak ada sakit, semua baik (sahaja) cakap sama semua orang bagus jangan takut semua (untuk) cucuk (suntikan),” kata Partuv Khur, 85, yang juga seorang pesara.

Bagi Khor Guan Leong, 89, pula dia bertuah kerana anaknya menguruskan proses pendaftaran sehingga memastikan suntikan vaksin diambil.

"Anak bawa mai cucuk, sakit apa pun tak ada, (untuk proses) pendaftaran anak tolong daftar, (sedikit pun) tak ada rasa takut," ujar Guan Leong lagi.

Terdahulu, Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang memaklumkan bahawa seramai 452,808 individu daripada lebih 1.5 juta yang layak menerima vaksin Covid-19 di Kedah mendaftar sebagai penerima vaksin setakat 8 April lalu.