Kira-kira 30 buah sekolah baharu akan dibina di seluruh negara tahun ini melibatkan peruntukan RM1.4 bilion, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata, kos tersebut turut melibatkan projek pembinaan bangunan tambahan serta bilik darjah baharu bagi memenuhi keperluan pelajar yang semakin bertambah.

"Untuk projek pertama (sekolah baharu) tahun ini adalah pembinaan SMK Serada di sini dengan kos RM28.3 juta. Keseluruhan peruntukan ini bukan untuk sekolah baharu saja, tapi juga untuk membina bangunan baharu, tambah bilik darjah dan sebagainya," katanya.

Mahdzir berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan majlis pecah tanah Bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Serada dekat sini pada Khamis.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi negeri, A. Latiff Awang; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Pelajaran) Kementerian Pendidikan, Datuk Khalid Abu Bakar; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Dr Zainal Alam Hassan; Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Azmi Razik dan Pengarah Pendidikan Negeri Shafruddin Ali Hussin.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, pembinaan SMK Serada itu dijangka mampu menampung kira-kira 800 pelajar selain memenuhi keperluan penduduk sekitar yang tidak lagi perlu bersusah-payah menghantar anak ke sekolah lebih jauh iaitu SMK Padang Midin, SMK Seri Nilam dan SMK Tun Telanai.

"Tiga sekolah berkenaan sudah penuh dan kena ada keperluan untuk bina sekolah baharu di sini dan kita jangka pengambilan pelajar dibuat pada tahun 2020," katanya.

Terdahulu, pada sebelah pagi Mahdzir turut melakukan upacara pecah tanah bagi pembinaan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Marang yang baharu seluas 2.947 hektar di Mukim Rusila, Marang.

Projek itu akan dibangunkan dalam dua fasa di mana Fasa 1 merupakan pembinaan Pejabat Pelajaran Marang serta bangunan-bangunan sokongan yang melibatkan kos hampir RM8.4 juta.

Pembangunan Fasa 2 pula merupakan pembangunan melibatkan pembinaan Dewan Serbaguna yang akan dibangunkan pada masa akan datang.

-- BERNAMA