Skip to main content
Advertisement

Malaysia

300 saintis jelajah 300 sekolah, pupuk minat STEM

Chang berkata program berkenaan membawa kepakaran saintis, teknologis dan juruteknik terus ke sekolah bagi memberi gambaran lebih dekat kepada murid mengenai penggunaan STEM dalam pelbagai aspek kehidupan. - Gambar fail
Chang berkata program berkenaan membawa kepakaran saintis, teknologis dan juruteknik terus ke sekolah bagi memberi gambaran lebih dekat kepada murid mengenai penggunaan STEM dalam pelbagai aspek kehidupan. - Gambar fail

Advertisement

PUTRAJAYA: Seramai 300 saintis akan dibawa ke 300 sekolah di seluruh negara menerusi Program STI 100³ Tahun 2026 bermula hari ini bagi memperluas pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI), sekali gus menarik minat lebih ramai pelajar menceburi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam kenyataan hari ini memaklumkan program yang dilaksanakan dengan kerjasama strategik Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) itu turut melibatkan teknologis dan juruteknik profesional dalam usaha memperkukuh ekosistem STI negara.

Menurut kenyataan itu, saintis akan dipadankan dengan sekolah berdasarkan bidang kepakaran masing-masing untuk melaksanakan pelbagai aktiviti pembudayaan STI, termasuk perkongsian ilmu, interaksi bersama murid serta pendedahan mengenai aplikasi STEM dalam kehidupan sebenar.

“Penglibatan saintis di peringkat sekolah diharap dapat memberi inspirasi kepada pelajar untuk menjadikan STI sebagai pilihan kerjaya pada masa hadapan.

“Usaha ini penting bagi menyokong aspirasi Malaysia mencapai status negara berteknologi tinggi dan membangunkan ekonomi berasaskan inovasi,” menurut kenyataan itu.

Menurut MOSTI, inisiatif itu diharap menjadi pemangkin dalam menggalakkan lebih ramai pelajar memilih bidang STEM, sekali gus memastikan negara mempunyai kumpulan bakat dan tenaga kerja mencukupi bagi menyokong perkembangan ekosistem STI.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang berkata program berkenaan membawa kepakaran saintis, teknologis dan juruteknik terus ke sekolah bagi memberi gambaran lebih dekat kepada murid mengenai penggunaan STEM dalam pelbagai aspek kehidupan.

“Kita juga mahu pendedahan ini mencetuskan rasa ingin tahu, membina keyakinan dan membuka minda murid terhadap peluang pengajian serta kerjaya dalam bidang STEM.

“Inilah usaha untuk membina bakat STI yang mampu mencipta, menguasai dan menerajui teknologi masa hadapan. Program ini diharap dapat memberi anjakan kepada Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara pengeluar dan pencipta teknologi berasaskan bakat tempatan,” katanya.

Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sebanyak 86,384 tawaran pekerjaan dalam bidang STEM menerusi iklan pekerjaan dalam talian direkodkan pada suku keempat 2025, mencerminkan permintaan berterusan terhadap tenaga kerja dalam bidang berkenaan.

Program STI 100³ Tahun 2026 dilancarkan pada 18 Ogos lepas bersempena Rangkaian Pakar Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) dalam Teknologi, Inovasi dan Kerjasama (ENTICE 2026).

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement