KUALA LUMPUR: Seramai 31,600 jemaah Haji bagi tahun 1445 Hijri bersamaan 2024 Masihi bakal menerima surat tawaran haji bermula 19 Januari 2024.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Syed Hamadah Syed Othman, bakal haji yang mendapat surat tawaran perlu menjawab surat tawaran tersebut dalam tempoh 11 hari bekerja.

"Bakal haji perlu cukupkan bayaran haji dan lulus pemeriksaan kesihatan sebelum menjawab surat tawaran tersebut dalam tempoh 11 hari bekerja melalui aplikasi THiJARI atau untuk kes-kes tertentu boleh mengunjungi mana-mana cawangan TH yang berdekatan,"

Beliau berkata dalam satu sidang media berhubung surat tawaran dan bayaran haji di Menara TH pada Jumaat.

Sementara itu, jelasnya lagi TH juga akan meneruskan Bantuan Kewangan Haji Bersasar untuk bakal haji Muassasah daripada kalangan B40 dan M40 walaupun terdapat peningkatan kos menunaikan ibadat haji.

"Kos Haji bagi seorang bakal haji Muassasah untuk musim haji tahun ini meningkat 8 peratus kepada RM33,300 berbanding RM30,850 pada tahun lepas.

"Kadar Bayaran Haji untuk seorang bakal haji Muassasah kumpulan B40 yang pertama kali menunaikan haji ditetapkan pada RM12,356 seorang di mana Kerajaan akan menanggung sebanyak RM1,000 seorang.

"Bakal haji kumpulan B40 akan menerima Bantuan Kewangan Haji dan bantuan kerajaan berjumlah RM20,944 seorang," katanya.

Selain itu, bayaran Haji bagi bakal haji Muassasah kumpulan M40 yang pertama kali menunaikan ibadat haji pula adalah RM19,152 seorang dan  menerima Bantuan Kewangan Haji berjumlah RM14,148 seorang.

Manakala bagi kumpulan T20 pula, beliau berkata kumpulan itu akan dikenakan bayaran penuh kos menunaikan haji iaitu sebanyak RM33,300 seorang.

Sementara itu, beliau menjelaskan bagi bakal haji yang membuat rayuan luar giliran untuk menunaikan haji secara Muassasah, mereka perlu membayar kos haji secara penuh.

Manakala rayuan sebagai mahram kepada jemaah, rayuan sebagai pembantu kepada jemaah lanjut usia atau pembantu kepada jemaah kurang upaya yang telah terpilih menunaikan haji tidak perlu membayar penuh kos berkenaan

Berdasarkan kuota yang diberikan oleh Kerajaan Arab Saudi, seramai 31,600 orang akan menerima surat tawaran haji berbanding dengan hampir empat juta pendeposit TH yang telah mendaftar dan masih menunggu untuk giliran haji.

TH juga dijangka akan membiayai kos sebanyak RM350.1 juta bagi musim haji 2024.