KUALA LUMPUR: Seramai 32 pensyarah dan pelajar Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan (KMNS) di sini disahkan positif COVID-19, sehingga semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD) Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, kes membabitkan Kluster Intan Delima 2 itu mula dikesan sejak 18 November lalu bermula dari seorang pensyarah yang disahkan positif.

“Buat masa ini seramai 32 pensyarah dan penuntut di situ telah disahkan positif dan dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) untuk menjalani kuarantin.

“Manakala seramai 105 lagi kontak rapat sedang menjalani kuarantin di kolej kediaman institusi pengajian berkenaan sementara menunggu ujian saringan COVID-19,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut ujarnya, situasi itu bagaimanapun terkawal dan kawalan secara pentadbiran dilaksanakan di institusi pengajian berkenaan.

“Buat masa ini cuma kawalan secara pentadbiran sahaja dan tidak diisytiharkan sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Pentadbiran seperti dibuat sebelum -sebelum ini.

“Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) juga telah maklumkan kepada semua agensi berkaitan seperti pihak polis dan pasukan RELA untuk turut sama bantu dari segi kawalan kolej,” katanya.

Jelas beliau, penularan berkenaan akan dapat dibendung segera memandangkan tindakan pengesanan dan ujian saringan telah dibuat lebih awal dan seramai 523 individu telah disaring sejak 18 November lalu.