KUALA LUMPUR: Seramai 336,592 murid perempuan tingkatan 1 kohort 2020 hingga 2022 belum menerima sebarang dos vaksin papilomavirus manusia (HPV), setakat ini.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, keadaan itu berlaku susulan gangguan bekalan vaksin HPV  dan peningkatan harga vaksin HPV sebanyak sebanyak enam kali ganda di peringkat global masing-masing pada 2021 dan 2022.

"Dengan menggunakan baki stok vaksin pada 2020, seramai 34,933 orang (15.7 peratus) murid perempuan tingkatan 1 kohort 2021 telah menerima dos 1 vaksin HPV.

"Ini bermakna masih terdapat 187,151 orang atau 84.3 peratus belum menerima vaksin HPV pada 2021.

"Pada 2022 pula, harga vaksin HPV di peringkat global telah meningkat sebanyak enam kali ganda dan Kementerian Kesihatan (KKM) hanya boleh membuat perolehan sebanyak 100,000 dos vaksin HPV pada Disember 2022.

"Kesemua vaksin tersebut telah diagihkan ke negeri untuk diberikan kepada murid perempuan tingkatan 1 kohort 2021 yang belum menerima vaksin," kata beliau di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) yang meminta menyatakan status terkini suntikan HPV untuk lebih daripada 500,000 kanak-kanak perempuan yang telah terlepas suntikan dari 2020 hingga 2022 serta perolehan vaksin HPV yang diperuntukkan RM120 juta untuk 2023.

Menjawab lanjut, Dr Zaliha berkata KKM komited memastikan semua murid perempuan kohort 2021, 2022 dan 2023 akan menerima vaksin HPV sebelum mereka tamat persekolahan.

Jelas beliau, keutamaan pemberian vaksin HPV adalah kepada murid perempuan kohort 2021 yang sedang berada di tingkatan 3 terlebih dahulu.

"Apabila keseluruhan kohort ini selesai, vaksin akan mula diberikan kepada murid kohort 2022 dan seterusnya kepada murid kohort 2023 dan ini bergantung kepada jumlah vaksin yang dapat diperolehi pada 2023," katanya lagi.

Mengenai peruntukan RM120 juta pula, beliau berkata KKM menjangkakan perolehan baharu bagi vaksin HPV dapat dimuktamadkan pada suku ketiga tahun ini.