Skip to main content
Advertisement

Malaysia

34 jalan di Kuala Lumpur ditutup sempena Coway Run 2026 Ahad ini

RUN
Penutupan dan lencongan bermula seawal 3.30 pagi sebelum dibuka semula secara berperingkat selepas acara yang dijangka disertai 10,000 peserta itu tamat. -Gambar hiasan/Pexel
Advertisement

Sebanyak 34 jalan di ibu negara terlibat dengan penutupan dan lencongan trafik secara berperingkat pada Ahad ini sempena penganjuran Coway Run 2026 di Stadium Merdeka.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Superintenden Suffian Abdullah berkata penutupan dan lencongan bermula seawal 3.30 pagi sebelum dibuka semula secara berperingkat selepas acara yang dijangka disertai 10,000 peserta itu tamat.

“Orang ramai dinasihati mengelak daripada menggunakan laluan yang terlibat sepanjang tempoh acara berlangsung, merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif atau pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Orang ramai turut dinasihatkan mematuhi arahan anggota polis serta petugas trafik yang bertugas bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pergerakan serta mengamalkan sikap pemanduan berhemah dan bersabar sepanjang tempoh penutupan jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suffian berkata jalan terlibat ialah Jalan Stadium, Jalan Maharajalela, Jalan Dewan Bahasa, Jalan Bukit Petaling, Jalan Bellamy, Jalan Hang Tuah, Jalan Hang Jebat, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Chulan, Jalan Conlay dan Jalan Kia Peng.

Selain itu, yang turut terlibat ialah Jalan Perak, Jalan P. Ramlee, Jalan Ampang, Jalan Raja Laut, Jalan Putra, Jalan Tun Ismail, Jalan Tunku, Jalan Langgak Tunku, Jalan Pinggiran Tunku, Jalan Girdle, Jalan Bukit Tunku dan Jalan Sultan Salahuddin.

Laluan lain yang terlibat ialah Lebuhraya Sultan Iskandar, Jalan Persiaran Sultan Salahuddin, Jalan Parlimen, Jalan Dato Onn, Bulatan Dato Onn, Jalan Kinabalu, Jalan Tun Perak, Jalan Pudu, Jalan Sultan. Jalan Petaling dan Bulatan Merdeka.

Acara itu melibatkan tiga kategori, iaitu 30 kilometer (km) yang bermula 4 pagi, 10 km (5.15 pagi) dan Fun Run 5 km (7 pagi). 

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan boleh menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee menerusi talian 03-2071 9999 atau balai polis berhampiran.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement