KUCHING: Seramai 35,312 pelajar tingkatan lima daripada 40 daerah di Sarawak akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula hari ini.

Ini merupakan detik penting kepada calon SPM 2020 selepas peperiksaan awam itu ditangguhkan November tahun lalu ekoran pandemik COVID-19.

Berdasarkan statistik Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), seramai 2,566 pengawas peperiksaan bertugas di 294 buah pusat peperiksaan termasuk di pedalaman.

Pengarahnya, Dr Norisah Suhaili berharap agar calon SPM tabah menghadapi cabaran termasuk menduduki peperiksaan awam ini dalam suasana norma baharu.

"Saya berharap calon dapat terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP), menjaga kesihatan dan perlakuan ketika di luar sekolah demi keselamatan semua pihak.

Guru menyerahkan borang deklarasi saringan COVID-19 kepada calon SPM.

"Saya juga mahu calon SPM untuk mengulang kaji pelajaran dan tenang ketika menjawab soalan peperiksaan nanti," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Sementara itu, tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang Hilir, Kuching mendapati, aspek keselamatan COVID-19 dititikberatkan pengurusan sekolah.

Ia termasuk melakukan pemeriksaan suhu, mewajibkan pemakaian pelitup muka dan menyerahkan borang deklarasi saringan COVID-19 kepada pelajar ketika memasuki pekarangan sekolah selain dikawal rapi guru bertugas dan pengawal keselamatan.

Borang tersebut perlu diisi dan diserahkan kepada pengawas peperiksaan sebelum calon memulakan peperiksaan setiap hari.

Para guru menyerahkan borang deklarasi saringan COVID-19 kepada setiap calon SPM.

Bukan itu sahaja, pihak sekolah juga menyediakan makanan percuma kepada pelajar sebagai langkah pencegahan calon untuk keluar dari sekolah pada waktu rehat.

Untuk makluman peperiksaan SPM 2020, dijalankan serentak di seluruh negara bermula hari ini dan dijadualkan tamat 25 mac depan.