KUALA LUMPUR: Seramai 365 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditawarkan untuk mengikuti program pengajian prauniversiti ASASIpintar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Pusat Genius@Pintar Negara (PGPN).

UKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa daripada jumlah itu, 243 pelajar dipilih melalui Unit Pusat Universiti (UPU), 82 daripada Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan dan Profesional (UKMShape) dan 40 daripada Kolej Genius@Pintar Negara (KGPN).

"82 pelajar yang mendaftar melalui UKMShape terdiri daripada 54 pelajar tajaan Youth Talent Development Programme (YTP) di bawah kendalian Majlis Amanah Rakyat (MARA), 22 ambilan terus melalui UKMShape dan enam lagi tajaan Petronas," menurut kenyataan itu.

Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata program ASASIpintar UKM ditawarkan oleh UKMShape buat julung kalinya kepada pelajar dengan tajaan Petronas, manakala kali kedua untuk pengambilan pelajar tajaan YTP-MARA.

"Pelajar tajaan YTP-MARA akan terus mendapat pembiayaan pengajian ke peringkat Ijazah Doktor Perubatan, Pergigian atau Farmasi di UKM, selepas tamat program asasi," katanya.

Mohd Ekhwan berkata pelajar tajaan Petronas pula akan meneruskan pengajian ijazah pertama di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan dan Fakulti Undang-Undang UKM untuk aliran sains sosial.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan pelajar untuk menggunakan peluang menimba ilmu di PGPN sebaik mungkin dan mengecapi peluang menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, sama ada dalam atau luar UKM.

"Pemikiran dan jiwa pelajar ASASIpintar perlu sama seperti seorang mahasiswa di universiti, berbeza dengan pelajar prauniversiti yang lain.

"Tingkatkan kreativiti diri dan berusaha membentuk personaliti cemerlang terutama dari segi kemahiran sosial yang baik, keyakinan diri, berani mencuba perkara baharu dan bekerjasama dalam kumpulan agar dapat mengembangkan potensi diri menjadi graduan berketerampilan holistik dan berkebolehpasaran," katanya.

Sementara itu, Pengarah UKMShape Prof Datuk Dr Muhammad Hussin berkata pemberian tajaan akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang, untuk terus membantu pelajar cemerlang dan pintar menyerlahkan bakat ke persada antarabangsa.

Pengarah PGPN Prof Dr Rorlinda Yusof pula berkata program ASASIpintar UKM dirangka khas untuk mencabar kebiasaan dan melangkaui pemikiran pelajar yang bukan sahaja dilatih untuk meningkatkan prestasi akademik tetapi sentiasa didorong untuk memfokus pada pembangunan jati diri dan sifat kepimpinan.

-- BERNAMA