Tiga puluh tujuh pesakit berusia daripada dua hingga 71 tahun dimasukkan ke hospital akibat keracunan makanan selepas makan menu sarapan pagi yang dipercayai dicemari racun kimia di sebuah gerai di Siputeh dekat Batu Gajah pada pagi Jumaat.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, empat pesakit ketika ini dalam keadaan kritikal dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Pusat Perubatan KPJ, Ipoh dan Hospital Batu Gajah.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kesemua pesakit dipercayai telah termakan makanan di gerai tersebut yang tercemar dengan bahan kimia dikenali sebagai organophosphate.

"Bomba mengunakan alat yang cukup canggih untuk cuba untuk mengenal pasti kompaun bahan kimia yang mungkin menyebabkan keracunan dan setakat ini kawasan yang diperiksa cukup luas dan pemeriksaan teliti dijalankan memang tiada didapati kebocoran atau gas yang mencurigakan," katanya yang ditemui pada sidang media di Hospital Batu Gajah, Perak pada Sabtu.

Kata beliau, gerai yang beroperasi di Siputeh tersebut telah pun diarahkan tutup dan pelbagai agensi ketika ini sedang giat menjalankan siasatan di kawasan sekitar bagi mencari punca kejadian berkenaan.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai untuk tidak panik dan mempercayai berita yang sedang diviralkan ketika ini kerana kerajaan negeri telah pun mengambil langkah-langkah keselamatan yang diperlukan.

Beliau memberitahu, 24 daripada 37 pesakit yang terlibat telah pun dibenarkan pulang pada 5 petang Jumaat dan selebihnya dijadualkan akan melakukan ujian kesihatan pada Sabtu.

Dalam pada itu, beberapa pesakit yang ditemui di hospital berkenaan turut memberitahu mereka jatuh sakit sebaik sahaja menjamu makanan seperti kuih muih, bihun goreng, kuey teow goreng dan nasi goreng di gerai berkenaan.