Skip to main content

Dunia

Penerbangan di AS disambung semula, namun gangguan dijangka berlarutan

White House memaklumkan gangguan itu berpunca daripada masalah komunikasi dalam sistem kawalan trafik udara dan bukannya insiden keselamatan. - Foto REUTERS
White House memaklumkan gangguan itu berpunca daripada masalah komunikasi dalam sistem kawalan trafik udara dan bukannya insiden keselamatan. - Foto REUTERS

Ringkasan AI

  • Penerbangan di seluruh Amerika Syarikat dibenarkan beroperasi semula selepas arahan pemberhentian penerbangan nasional ditarik balik akibat gangguan sistem komunikasi kawalan trafik udara.
  • Pihak berkuasa memberi amaran gangguan jadual penerbangan dijangka berterusan kerana proses pemulihan rangkaian penerbangan mengambil masa dan ramai penumpang masih terkandas.
  • Pihak berkuasa menegaskan insiden ini bukan berpunca daripada serangan siber atau isu keselamatan, dan keselamatan orang ramai tidak terjejas.
Advertisement

WASHINGTON: Penerbangan di seluruh Amerika Syarikat (AS) dibenarkan beroperasi semula selepas arahan pemberhentian penerbangan di peringkat nasional ditarik balik, namun pihak berkuasa memberi amaran gangguan jadual penerbangan dijangka berterusan dalam tempoh terdekat.

Setiausaha Pengangkutan AS, Sean Duffy, berkata operasi penerbangan kini kembali berjalan, tetapi proses memulihkan rangkaian penerbangan yang terjejas akan mengambil masa berikutan ramai penumpang masih terkandas di lapangan terbang.

“Kekecohan yang berlaku dalam sektor perjalanan udara ini tidak dapat diselesaikan serta-merta dan memerlukan masa untuk kembali normal,” katanya.

Advertisement

Sebelum ini, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengarahkan semua penerbangan dihentikan sementara susulan gangguan sistem komunikasi kawalan trafik udara yang menjejaskan operasi penerbangan di seluruh negara.

White House memaklumkan gangguan itu berpunca daripada masalah komunikasi dalam sistem kawalan trafik udara dan bukannya insiden keselamatan.

Advertisement

Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri AS, Markwayne Mullin, turut menegaskan tiada bukti yang menunjukkan insiden berkenaan berpunca daripada serangan siber.

“Tiada sebarang petunjuk bahawa ini adalah serangan terhadap Amerika Syarikat. Keselamatan orang ramai tidak terjejas,” katanya.

Gangguan itu menyebabkan beberapa penerbangan dari Eropah ke AS turut ditangguhkan selepas FAA meminta syarikat penerbangan antarabangsa menangguhkan pelepasan pesawat menuju ke negara berkenaan.

Menurut laporan, kejadian itu merupakan arahan pemberhentian penerbangan terbesar di AS sejak negara itu menggantung operasi penerbangan susulan serangan pengganas pada 11 September 2001.

Pihak berkuasa penerbangan kini memberi tumpuan kepada pemulihan sepenuhnya sistem yang terjejas serta usaha mengurangkan kelewatan dan kesesakan di lapangan terbang utama negara itu.

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement