KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) meluluskan 375 projek pembinaan semula bangunan sekolah daif berskala enam dan tujuh di Sarawak dari tahun 2016 hingga 2023.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, ia melibatkan kos sebanyak RM2.59 bilion.

Menurutnya, sehingga 26 Oktober 2023, sebanyak 235 projek telah siap dan 43 projek di peringkat pembinaan manakala 97 projek di peringkat prabina.

“Selain daripada itu, KPM turut menyediakan peruntukan penyelenggaraan bagi institusi pendidikan di Sarawak.

“Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, sehingga 26 Oktober 2023, KPM telah menyalurkan sebanyak RM143.32 juta kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.

“Ia adalah bagi pelaksanaan kerja penyelenggaraan yang merangkumi penyelenggaraan struktur dan bukan struktur bangunan, pembaikan bumbung, pendawaian elektrik, sistem kumbahan, pagar, longkang dan lain-lain penyelenggaraan kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Khamis bagi menjawab soalan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) yang bertanya status projek pemulihan dan naik taraf sekolah daif di Sarawak.