GEORGE TOWN: Sebanyak 38,000 wanita bakal mendapat manfaat daripada Program Subsidi Ujian Mamogram menerusi peruntukan RM9 juta yang disediakan kerajaan dalam Belanjawan 2027, berbanding RM8 juta tahun ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata program yang dilaksanakan sejak 2007 itu bertujuan memperluas akses kepada saringan mamogram serta menggalakkan pengesanan awal kanser payudara dalam kalangan wanita di negara ini.
Beliau berkata program berkenaan menyasarkan wanita berusia 40 hingga 70 tahun, dengan wanita yang mempunyai pendapatan isi rumah RM10,000 dan ke bawah layak mendapat ujian percuma sepenuhnya, manakala mereka yang berpendapatan melebihi RM10,000 boleh dipertimbangkan untuk subsidi RM50, tertakluk kepada syarat program.
“Program ini berterusan dan pelaksanaannya disokong oleh penglibatan 67 pusat mamogram panel LPPKN (Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara) yang bertauliah di seluruh negara.
“Setakat 30 Sept 2026, sebanyak 595,143 wanita di seluruh Malaysia telah menjalani ujian mamogram (menerusi Program Subsidi Ujian Mamogram sejak 2007) dengan 1,334 kes kanser payudara disahkan manakala di Pulau Pinang, 54,549 wanita telah menjalani saringan dan 93 kes kanser payudara telah dikesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kempen Pink CaRe: Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara Peringkat Kebangsaan 2026 di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying serta Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Datuk Seri Rohani Abdul Karim.
Nancy berkata kesedaran terhadap kepentingan pemeriksaan kesihatan payudara perlu terus dipertingkatkan kerana pengesanan awal dapat meningkatkan peluang mendapatkan rawatan yang berkesan.
Beliau berkata data Global Cancer Observatory (GLOBOCAN) 2022 menunjukkan sebanyak 8,371 kes baharu kanser payudara direkodkan dalam kalangan wanita di Malaysia, manakala 3,526 kematian akibat penyakit itu turut dicatatkan pada tahun berkenaan.
“Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023 pula menunjukkan hanya 12.8 peratus wanita berumur 40 tahun dan ke atas telah menjalani pemeriksaan mamogram dalam tempoh tiga tahun sebelumnya, penurunan yang ketara berbanding 21 peratus pada 2019,” katanya.
Mengenai Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara, Nancy berkata sambutan pada Oktober setiap tahun di peringkat global merupakan satu platform strategik untuk meningkatkan kesedaran, memupuk pemahaman serta memperkasakan kepekaan masyarakat, khususnya golongan wanita, terhadap pengesanan awal menyelamatkan nyawa.
Menyahut ikhtiar murni tersebut, katanya KPWKM melalui LPPKN mengambil langkah proaktif menggerakkan seluruh pejabat LPPKN negeri untuk melaksanakan program kesedaran dan pelbagai inisiatif serta advokasi di seluruh negara.
-- BERNAMA