KUALA LUMPUR: Kejayaan Hospital Selayang menyambung semula kedua-dua tangan pesakit yang terputus dalam tiga kes sepanjang tempoh 18 tahun, membuktikan kepakarannya dalam mengendalikan pembedahan kompleks yang amat jarang dilakukan, termasuk di pusat perubatan utama dunia.
Ketua Jabatan Tangan dan Pembedahan Mikro Hospital Selayang Datuk Dr Rashdeen Fazwi Muhammad Nawawi berkata kejayaan itu mencerminkan keupayaan pasukannya dalam melaksanakan pembedahan berisiko tinggi yang memerlukan kepakaran khusus, koordinasi rapi dan tindakan pantas bagi menyelamatkan anggota badan pesakit.
“Kecederaan atau putus tangan kebiasaannya berlaku pada sebelah anggota sahaja. Dalam literatur perubatan serta di pusat-pusat perubatan utama dunia, penyambungan kedua-dua tangan yang terputus hanya dilaporkan dalam dua atau tiga kes sepanjang tempoh 30 tahun.
“Namun di Hospital Selayang, situasinya berbeza kerana kami telah melaksanakan operasi penyambungan kedua-dua tangan dengan tiga kes direkodkan dalam tempoh 18 tahun,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata kes terbaharu kira-kira dua bulan lepas melibatkan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an yang mengalami kemalangan di tempat kerja apabila kedua-dua tangannya terputus di pergelangan tangan akibat mesin pemotong kayu.
Dr Rashdeen Fazwi berkata pembedahan penyambungan semula kedua-dua tangan pesakit itu berjaya dilakukan dalam tempoh kira-kira enam jam, dengan dua pasukan bedah mengendalikan setiap tangan secara serentak bagi mengelakkan kelewatan yang boleh menjejaskan kelangsungan tisu.
“Pesakit kini berada di rumah dan akan dimasukkan semula ke hospital bagi menjalani rehabilitasi. Fungsi tangan dijangka dapat dipulihkan sekitar 70 hingga 80 peratus, bergantung pada perkembangan pemulihan serta usaha pesakit,” katanya.
Menurut Dr Rashdeen Fazwi, pembedahan itu memerlukan penglibatan pasukan kecemasan yang menstabilkan pesakit sebelum dibawa ke dewan bedah, lima pakar perunding pembedahan tangan, termasuk dirinya, empat pakar ortopedik yang menjalani latihan subkepakaran, enam hingga lapan pegawai perubatan, tiga hingga empat pembantu perubatan serta kira-kira 27 jururawat.
Beliau berkata kejayaan sesuatu pembedahan bergantung pada pemantauan rapi selepas prosedur bagi mengesan komplikasi yang boleh berlaku walaupun tangan atau jari menunjukkan tanda-tanda masih hidup.
“Kejayaan menyambung semula anggota yang terputus turut dipengaruhi beberapa faktor termasuk usia pesakit, tahap kecederaan, keadaan anggota yang terputus serta tempoh antara kejadian dan pesakit menerima rawatan, yang boleh menentukan peluang anggota itu disambung semula dan berfungsi dengan baik,” katanya.
Pakar yang berpengalaman dalam bidang tangan dan pembedahan mikro sejak 2008 itu berkata proses penyambungan semula anggota yang terputus melibatkan tiga fasa utama, iaitu persediaan sebelum pembedahan, prosedur pembedahan serta pemantauan dan rehabilitasi selepas pembedahan.
“Sebaik menerima sesuatu kes, pasukan pembedahan tangan akan berkomunikasi dengan hospital perujuk, jabatan kecemasan dan pakar bius bagi menyelaraskan tindakan serta memastikan pesakit stabil sebelum dibawa ke dewan bedah.
“Proses replantasi atau penyambungan semula itu memerlukan ketelitian tinggi kerana setiap struktur tangan perlu dibaiki satu demi satu, termasuk tulang, salur darah, saraf dan tendon, menggunakan teknik pembedahan mikro serta benang halus sebelum kulit ditutup,” katanya.
Beliau berkata jabatan yang beroperasi sejak 2000 itu adalah pusat pembedahan tangan yang mempunyai pasukan terbesar dalam negara serta menjadi pusat latihan kepakaran tangan dan pembedahan mikro bagi Kementerian Kesihatan (KKM).
Jabatan itu turut dikendalikan oleh empat pakar perunding, felo serta doktor dalam latihan pascasiswazah ortopedik dan pembedahan plastik yang menjalankan kes trauma kecemasan kompleks serta pembedahan tangan dan pembedahan mikro elektif.
“Sejak 2021, Jabatan Tangan dan Pembedahan Mikro telah mengendalikan 155 kes replantasi anggota putus manakala jumlah pembedahan kompleks lain yang dijalankan setiap tahun adalah antara 450 hingga 500 kes.
“Antara rawatan yang dilaksanakan termasuk kecederaan saraf brakial pleksus, kecacatan tangan sejak lahir, ketumbuhan dan kanser pada tangan, kecederaan sukan, saraf tersepit seperti sindrom terowong karpal serta kerosakan sendi yang memerlukan pembedahan penggantian sendi, kecederaan tangan akibat kemalangan serta kecederaan tendon dan saraf,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Rashdeen Fazwi menasihatkan orang ramai agar mengutamakan keselamatan diri dan nyawa mangsa sekiranya berlaku kemalangan yang menyebabkan anggota badan terputus serta mendapatkan bantuan kecemasan dengan segera.
Beliau berkata anggota yang terputus perlu dibalut menggunakan kain bersih yang lembap, dimasukkan ke dalam beg plastik yang ditutup rapat dan disejukkan menggunakan air berais, namun tidak boleh diletakkan secara langsung di atas ais bagi mengelakkan kerosakan tisu yang boleh menjejaskan peluang anggota itu disambung semula.
-- BERNAMA