HULU TERENGGANU: Sebanyak 4,000 bakul makanan diagihkan kepada penduduk yang terkesan akibat pandemik COVID-19 di kawasan Parlimen Hulu Terengganu bermula Ahad.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, bakul makanan itu diagihkan kepada penduduk di empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Hulu Terengganu.

DUN berkenaan adalah Kuala Berang, Ajil, Telemong dan Manir menerusi peruntukan sebanyak RM300,000 daripada kerajaan persekutuan.

Katanya setiap satu DUN dibekalkan dengan 1,000 bakul makanan dan pengagihan dijangka selesai dalam tempoh dua.

“Kita buat ikut DUN, kita peruntukkan 1,000 pek beras dan juga keperluan asas untuk diagihkan mengikut DUN masing-masing.

“Bukan bererti 1,000 sahaja, kita akan pastikan mereka yang lain dan memerlukan tetap menerimanya,” katanya.

Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, individu berkenaan yang terkesan, tiada pendapatan dan hilang pekerjaan boleh memaklumkan pihaknya untuk tindakan lanjut.

Katanya, pihaknya turut mempermudahkan penyaluran bantuan di mana mereka yang terkesan tidak perlu mengisi borang sebaliknya terus menghubungi pegawai Parlimen dan penyelaras DUN.

Sebelum ini, sebanyak RM300,000 diperuntukkan kepada setiap Ahli Parlimen termasuk pembangkang untuk melaksanakan bantuan bakul makanan kepada golongan terjejas.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika pengumuman khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) pada 28 Jun lalu.