KUALA LUMPUR: Sebanyak 4,286 pelajar baharu terpilih melanjutkan pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi sesi akademik 2023/2024 untuk semua program pengajian.

Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata pada tahun ini, universiti berkenaan telah menerima sebanyak 49,484 permohonan.

"Daripada jumlah itu, hanya 4,286 yang layak dan dipilih menjadi sebahagian daripada warga UKM. Sesi pendaftaran pagi melibatkan pelajar dari Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Pulau Pinang, Perlis, Terengganu, Sabah, Sarawak dan Labuan.

"Sementara itu, pelajar dari Negeri Sembilan, Melaka, Perak, Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur mendaftar pada sesi petang di kolej masing-masing," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 1,865 ialah pelajar daripada golongan keluarga berpendapatan rendah (B40) dan empat pelajar ialah Orang Kurang Upaya (OKU) yang merangkumi OKU penglihatan dan fizikal.

Selain itu, katanya kemasukan baharu ini turut menerima empat pelajar Orang Asli dan lima pasangan kembar.

"Kita santuni setiap keadaan pelajar dengan menyediakan kemudahan penginapan dan bantuan kebajikan yang bersesuaian bagi memberi keselesaan kepada mereka. Pelajar baharu akan menjalani program suai kenal iaitu Minggu Apresiasi Watan (MAW) bermula hari ini hingga Rabu, 4 Okt selama lima hari.

"Dengan tema 'Mara Watan', MAW akan memberi pendedahan dan pengisian yang padat kepada pelajar baharu seperti amanat Naib Canselor, sesi bersama alumni, pengenalan kepada aktiviti kampus dan interaksi dengan fakulti, kolej serta Pusat Tanggungjawab universiti," katanya.

Beliau berkata 27 pelajar baharu UKM daripada keluarga berpendapatan RM1,000 ke bawah juga telah menerima bantuan daripada universiti menerusi Program Jejak Anak Watan dan bantuan itu disampaikan secara terus melalui lawatan ke rumah-rumah bakal pelajar meliputi Zon Tengah, Utara, Selatan dan Pantai Timur.

"Sumbangan berkenaan merangkumi bantuan kewangan sebanyak RM1,000 secara tunai dan Bakul Rahmah yang berisi barang kelengkapan asrama bernilai RM200 kepada pelajar yang mendaftar pada hari ini.

"Program ini merupakan inisiatif pihak universiti bagi menyantuni pelajar yang tidak berkemampuan dengan memberikan suntikan kewangan untuk meringankan beban ekonomi terhadap keluarga pelajar. Diharapkan ia dapat memberi dorongan kepada pelajar agar mereka dapat memulakan pelajaran di universiti dengan bersemangat tanpa perlu risau tentang kekangan kewangan," katanya.

-- BERNAMA