MALAYSIA
4 muka baru angkat sumpah exco Selangor
Empat muka baru mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (exco) di Istana Alam Shah hari ini.
Mereka adalah bekas speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Teng Chang Khim (DAP-Sungai Pinang), V Ganabatirau (DAP-Kota Alam Shah), Dr Daroyah Alwi (PKR-Sementa) dan Sallehen Mukhyi (PAS-Sabak).
Berikut adalah senarai penuh anggota Exco Selangor:
Wong Keat Ping @ Elizabeth Wong (PKR, Bukit Lanjan) – Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar
Dr Daroyah Alwi (PKR, Sementa) – Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi Dan Inovasi
Rodziah Ismail (PKR, Batu Tiga) – Kebajikan, Hal Ehwal Wanita
Datuk Teng Chang Khim (DAP, Sungai Pinang) – Kerajaan Tempatan, Kajian Dan Penyelidikan
Ganabatirao Veraman (DAP, Kota Alam Shah) – Pekerja Ladang, Kemiskinan, Kerajaan Prihatin
Ean Yong Hian Wah (DAP, Seri Kembangan) – Pelaburan, Perindustrian & Perdagangan, Pembangunan Kampung Baharu & Pemutihan Kilang Haram
Sallehin Mukhyi (PAS, Sabak) – Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian, Pembangunan Desa
Dr Halimah Ali (PAS, Selat Klang) – Pendidikan dan Pendidikan Tinggi, Pembangunan Modal Insan
Dr Ahmad Yunus Hairi (PAS, Sijangkang) – Belia Dan Sukan, Infrastruktur Dan Kemudahan Awam
Iskandar Abdul Samad (PAS, Cempaka) – Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Peneroka Bandar.
Sementara itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj mengingatkan kerajaan negeri yang baru mendapat mandat itu agar menunaikan manifesto yang telah dijanjikan sewaktu kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
"Beta mengharapkan parti yang dipilih oleh rakyat Selangor hendaklah menunaikan janjinya tanpa berlengah dan dilaksanakan dengan adil dan saksama.
"Manifesto yang telah dibuat oleh sesebuah parti itu merupakan satu janji dengan rakyat dan akan dilaksanakan," titah Sultan Sharafuddin.
Sultan Selangor turut menggesa ahli mesyuarat kerajaan negeri agar menjauhkan diri daripada gejala rasuah.
"Jauhkan diri daripada rasuah kerana jika diamalkan akan menjatuhkan maruah dan imej seseorang dan boleh merosakkan negeri Selangor.
"Beta tidak berkenan mereka yang telah mendapat mandat ini mengambil kesempatan untuk memperoleh sesuatu demi kepentingan diri sendiri.
Sultan Selangor menganjurkan bahawa usaha pendamaian diantara parti-parti politik dijalankan.
"Beta menyarankan ahli politik perlulah berbaik-baik semula dan bekerjasama serta menumpukan tenaga untuk membina kemakmuran negeri Selangor berikutan tempoh berkempen pilihan raya telah pun tamat," jelas Sultan Sharafuddin.
Pada PRU13 yang lalu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) memenangi 9 buah kerusi. Manakala DAP dan Pas masing-masing mengenangi empat buah kerusi daripada 22 buah kerusi yang dipertandingkan di negeri Selangor.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami