DUNIA
Trump kecewa dengan Putin selepas rundingan damai Ukraine buntu

Presiden Trump menjawab soalan wartawan dalam sidang media di Pejabat Oval, White House, Washington, Amerika Syarikat, pada Selasa. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyuarakan rasa kecewa terhadap Presiden Rusia, Vladimir Putin susulan kegagalan rundingan damai menghentikan konflik di Ukraine.
“Saya sangat kecewa dengannya. Saya dan beliau sebelum ini mempunyai hubungan yang baik. Tetapi kini sangat mengecewakan. Ribuan orang sedang terkorban,” kata Trump dalam wawancara program Scott Jennings Show pada Selasa.
Bagaimanapun, Trump tidak menyatakan secara khusus sama ada pentadbirannya akan mengenakan sekatan tambahan terhadap Rusia, sebaliknya hanya menegaskan, pihaknya akan “melakukan sesuatu” bagi menghentikan pertumpahan darah.
“Kita akan lihat apa yang berlaku. Buat masa ini, saya sangat kecewa dengan Presiden Putin, itu boleh saya katakan. Kami akan melakukan sesuatu bagi membantu orang hidup. Jika saya boleh hentikan perkara ini, saya rasa itu satu tanggungjawab,” katanya.Sementara itu, Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent memberitahu Fox News bahawa “semua pilihan masih terbuka” untuk sekatan tambahan terhadap Rusia, sambil menambah bahawa pentadbiran ketika ini sedang meneliti perkara itu secara dekat minggu ini.
Pada 22 Ogos lalu, Trump menyatakan beliau memberi Putin “beberapa minggu lagi”, sekali gus melanjutkan tempoh sebelum sebarang tindakan diambil. Tempoh dua minggu itu akan berakhir pada Jumaat ini.
Dalam temu bual sama, Trump turut menolak kebimbangan terhadap kemungkinan pakatan antara Rusia dan China selepas Presiden Putin dan Presiden Xi Jinping mengadakan sidang kemuncak di China baru-baru ini. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami