KUALA LUMPUR: Empat sampel RT PCR kes positif COVID-19 hasil daripada saringan yg dijalankan di Parlimen menunjukkan terdapat unsur berkaitan varian Delta atau varian Kappa, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham menjelaskan keputusan itu dikeluarkan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) yang menerima empat sampel daripada Makmal Kesihatan Awam Sungai Buloh.

"Hasil daripada PCR Genotyping Assay, kesemua 4 sampel menunjukkan mutasi pada spike protein yang dikenal pasti wujud pada varian Delta atau varian Kappa.

"Namun berdasarkan VOC (varian yang membimbangkan) yang sedang menular di dalam komuniti, ia berkemungkinan besar adalah varian Delta," katanya menerusi Twitter, malam ini.


Dr Noor Hisham jelaskan sebab penutupan Parlimen

Dr Noor Hisham menjelaskan, kajian klinikal telah melaporkan bahawa kes yang dijangkiti varian Delta mempunyai kandungan virus 1,200 kali lebih tinggi berbanding kes yang dijangkiti dengan varian biasa (non-VOC).

"Penjujukan genom penuh akan dijalankan bagi pengesahan selanjutnya," katanya lagi.


Sebelum ini dalam satu kenyataan, Dr Noor Hisham memaklumkan keadaan individu yang ramai ketika sidang Mesyuarat Khas Parlimen yang berlangsung bermula 26 hingga 29 Julai lalu telah mencetuskan kebimbangan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang melihat kepada kadar penularan COVID-19.

Mesyuarat Khas Parlimen yang sepatutnya diadakan pada 2 Ogos telah ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.