MALAYSIA
400 penunjuk perasaan ditahan di Jakarta, Mahasiswa Malaysia bersolidariti di Kedutaan Besar Indonesia

Sekumpulan mahasiswa Malaysia mengadakan demonstrasi aman di hadapan Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur, pada Selasa. - Foto Mandiri
KUALA LUMPUR: Sekumpulan mahasiswa Malaysia mengadakan demonstrasi aman di hadapan Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur, pada Selasa.
Ringkasan AI
- Mahasiswa Malaysia adakan demonstrasi aman di Kedutaan Indonesia sebagai solidariti terhadap penahanan hampir 400 penunjuk perasaan di Jakarta yang menuntut reformasi politik dan pengurusan negara lebih berintegriti.
- Liga Mahasiswa Malaysia kemuka tiga tuntutan utama: pembebasan tanpa syarat individu yang ditahan, penghentian kekerasan terhadap demonstran dan wartawan, serta penghormatan terhadap hak berhimpun dan bersuara secara aman.
- Protes di Jakarta bertukar huru-hara selepas penunjuk perasaan membantah cadangan kenaikan elaun wakil rakyat, menyebabkan polis melepaskan gas pemedih mata dan meriam air serta menahan ratusan termasuk pelajar bawah umur.
Ia sebagai reaksi terhadap tindakan polis Indonesia yang menahan ratusan individu ketika demonstrasi di hadapan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Jakarta.
Menurut Koordinator Liga Mahasiswa Malaysia, Alyaah Hani Anuar, demonstrasi di Jakarta itu diadakan bagi menuntut penurunan gaji dan elaun wakil rakyat, sebagai sebahagian daripada aspirasi rakyat Indonesia untuk reformasi politik serta pengurusan negara yang lebih berintegriti.
"Liga Mahasiswa Malaysia berpeluang untuk berjumpa terus dengan wakil dari Kedutaan untuk menyampaikan terus tuntutan agar kawan-kawan di Indonesia dibebaskan segera.
“Kami menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap laporan berlakunya kekerasan, intimidasi dan sekatan terhadap demonstran serta wartawan yang hadir menjalankan tugas kewartawanan.
"Tindakan keras sebegini jelas melanggar hak asasi manusia, khususnya hak berhimpun secara aman dan hak menyuarakan pendapat yang dijamin undang-undang serta piawaian antarabangsa,” katanya kepada Astro AWANI, pada Rabu.
Liga Mahasiswa Malaysia turut mengemukakan tiga tuntutan utama iaitu pembebasan segera 400 individu yang ditahan tanpa syarat, penghentian segala bentuk kekerasan terhadap demonstran dan wartawan, serta penghormatan penuh terhadap prinsip demokrasi termasuk hak berhimpun dan bersuara secara aman.
“Suara rakyat tidak boleh dibungkam melalui intimidasi atau tindakan represif. Tuntutan yang disuarakan rakyat Indonesia adalah sah, wajar dan mencerminkan aspirasi untuk membina sistem politik yang lebih adil,” tegas Alyaah.
Liga Mahasiswa Malaysia menegaskan mereka akan terus menyatakan solidariti bersama mahasiswa, aktivis, wartawan dan rakyat Indonesia dalam memperjuangkan keadilan sosial, demokrasi tulen serta kebebasan bersuara.
“Kami menyeru pihak berkuasa Indonesia agar menghormati semangat reformasi dan tidak mengkhianati prinsip demokrasi yang menjadi asas negara tersebut. Solidariti kami tidak mengenal sempadan,” katanya.
Pada Isnin, seramai hampir 400 penunjuk perasaan yang terdiri daripada mahasiswa, orang awam dan pelajar sekolah termasuk 205 individu bawah umur, ditahan kerana merusuh di luar Kompleks Dewan Rakyat, Jakarta.
Mereka yang ditahan dibawa menaiki dua kenderaan taktikal ke ibu pejabat Polis Metropolitan Jakarta untuk disoal siasat.
Media tempatan melaporkan, protes di luar kompleks DPR itu memuncak dan menjadi huru-hara apabila penunjuk perasaan menolak cadangan kenaikan elaun mewah yang diberikan kepada ahli-ahli Parlimen.
Pihak polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan meriam air bagi menyuraikan kekecohan tersebut.
Pergelutan berlaku selepas kumpulan penunjuk perasaan yang berpakaian gelap, membaling batu dan menyalakan bunga api ke arah polis rusuhan ketika mereka cuba memecah masuk ke bangunan Parlimen Indonesia.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami