GEORGE TOWN: Sebanyak 405 suri rumah menerima faedah tuntutan di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) sepanjang tahun lepas membabitkan jumlah bayaran keseluruhan sebanyak RM1.094 juta.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata daripada jumlah itu, 31 suri rumah berinsurans (SRB) menerima faedah hilang upaya kekal, 20 orang menerima elaun keuzuran, 46 penerima membabitkan bayaran ganti rugi belanja berupa faedah perubatan dan kemudahan pemulihan jasmani, faedah pengurusan mayat (319 kes), manakala 228 lagi menerima faedah pencen penakat.

"Setakat Disember tahun lepas, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah merekodkan sebanyak 201,383 SRB yang mendaftar dengan skim ini (SKSSR) dan tahun ini kita menyasarkan sekurang-kurangnya 500,000 suri rumah untuk mendaftar kerana mereka juga berperanan penting dalam menyumbang kepada ekonomi negara.

"Biarpun kita lihat suri rumah ini sebagai penjaga dan tidak mempunyai gaji, sebenarnya mereka merupakan pekerja dalam ekonomi ihsan dan harus diberikan perlindungan, penjagaan dan hak sebagaimana pekerja dalam sektor lain.

"Itulah yang menjadi antara matlamat Perkeso dan di bawah kerajaan MADANI kita mahu inisiatif ini disebar luas supaya lebih ramai yang akan mendapat manfaat," katanya kepada pemberita ketika mengadakan tinjauan Program Kesuma MADANI bersama komuniti bersempena dengan Thaipusam di Kuil Waterfall Hill di Jalan Kebun Bunga di sini hari ini.

Sim berkata pihaknya kini juga sedang berusaha untuk memperluas program turun padang bagi menyebarkan maklumat mengenai skim itu kepada golongan sasar, sekali gus meningkatkan kesedaran mereka terhadap kepentingan untuk mencarum.

Sementara itu, beliau berkata program Kesuma MADANI yang julung kali diadakan bersempena dengan sambutan Thaipusam di Batu Caves dan Pulau Pinang itu merupakan satu daripada inisiatif kementerian untuk membantu dalam mencapai matlamat berkenaan.

"Melalui program ini, kita bukan saja menyediakan sukarelawan untuk membantu pengurusan logistik orang ramai pada hari Thaipusam, tetapi juga mengambil kesempatan dengan membuka reruai khidmat pekerja yang antara lain membolehkan orang ramai untuk mendaftar skim di bawah Perkeso termasuklah SKSSR.

"Justeru, saya berharap peluang itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan wanita terutama suri rumah untuk mendaftar di bawah SKSSR supaya mereka juga mendapat perlindungan sewajarnya," katanya.

Terdahulu, Sim berkata sebanyak 150 sukarelawan Wira Kesuma terdiri daripada pelatih institut latihan perindustrian (ILP) di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) dihantar ke kuil berkenaan bagi memberi bantuan sokongan kepada orang ramai terutama warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) ketika sambutan Thaipusam pada 25 Jan ini.

-- BERNAMA