SUNGAI BESAR: Seramai 409 anggota dan pegawai Unit Tindak Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menerima elaun tambahan khas sebanyak RM525 sebulan bermula Februari tahun ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah membuat ketetapan untuk menyalurkan elaun khas itu yang dikenali sebagai elaun kawalan rapat kenamaan (KRK).

"Untuk (elaun) ini, (UTK) merupakan satu unit elit iaitu mereka bekerja sepanjang masa dan proses latihan juga berat serta turut diberikan tugas yang spesifik.

"Jadi JPA telah membuat ketetapan untuk kumpulan elit ini untuk diberikan elaun tambahan khas sebanyak RM525 bermula Februari tahun ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa PDRM bersama Penduduk Kampung Sungai Haji Dorani, Sabak Bernam yang turut dihadiri Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani hari ini.

Terdahulu, Saifuddin menerusi Facebook rasminya memaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan pemberian elaun itu kepada anggota dan pegawai UTK semalam.

Beliau juga berkata cuti kira-kira 90 peratus daripada 130,000 anggota dan pegawai PDRM di seluruh negara akan dibekukan sebagai persiapan bagi penugasan pada musim perayaan ini.

Bagaimanapun, anggota dan pegawai yang bertugas akan dibenarkan bercuti secara bergilir-gilir dengan mereka yang telah bercuti ketika Aidilfitri.

Saifuddin berkata meskipun ketika musim perayaan, penugasan PDRM dalam semua aspek amat penting dan pihaknya tidak akan berkompromi daripada segi tanggungjawab menjaga keselamatan, mengekalkan keharmonian serta keamanan negara.

"Semua perkara perlu diambil kira seperti penugasan kawalan trafik yang meningkat pada musim perayaan ini manakala elemen keselamatan lain juga diberi tumpuan kerana pada musim cuti ini, kebanyakan masyarakat balik ke kampung dan meninggalkan kediaman atau premis perniagaan mereka," katanya.

-- BERNAMA