BATU GAJAH: Fasa pertama Taman Didik Hibur Dinosaur Encounter: Area 65 di Pusat Komersial Silverlakes Village Outlet (SVO) yang mula dibuka kepada orang ramai di sini pada Jumaat dijangka menarik kunjungan kira-kira 45,000 pelawat.

Pengurus Besar Wegrow Global, Dr Anir Syazwan Sharbirin berkata beliau yakin taman tema dinosaur itu bakal mencetuskan fenomena baharu dalam menarik kehadiran pelancong selari inisiatif Tahun Melawat Perak (TMP) 2024.

Beliau berkata Dinosaur Encounter itu merupakan taman dinosaur keenam di Malaysia yang mempamerkan konsep baharu iaitu kombinasi taman hiburan secara dalam dan luar bangunan yang bertaraf antarabangsa.

"Sudah pasti ia dapat memberikan pengalaman penjelajahan dunia dinosaur sebenar berasaskan sains kepada pengunjung, sekali gus merealisasikan pembelajaran melalui pengalaman secara langsung," katanya pada sidang media di pra-pelancaran Taman Didik Hibur Dinosaur Encounter: Area 65 di sini semalam.

Turut hadir pada pelancaran itu Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa, Yang Dipertua Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG), Mohamad Razif Ramli dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Steven Tiw Tee Siang.

Anir Syazwan yang juga Ketua Pegawai Teknologi Wegrow Global menambah, taman didik hibur dinosaur itu dibangunkan dalam bentuk realiti terimbuh dan realiti maya, animatronik di samping menggunakan pelbagai teknologi moden untuk menambah baik kandungan yang menghasilkan pengalaman bersifat imersif.

Sementara itu, Steven Tiw berkata pembukaan taman tema itu akan menjadi satu tarikan terbaharu yang boleh merancakkan lagi sektor pelancongan negeri.

"Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak Wegrow Global bersama Silverland Capital Sdn Bhd yang bekerjasama mewujudkan Dinosaur Encounter dalam usaha mempergiatkan lagi produk-produk pelancongan baharu di Perak khususnya Batu Gajah," katanya.

Selain di SVO Batu Gajah, Dinosaur Encounter juga terdapat di Pusat Sains Negara, Zoo Melaka, Zoo Teruntum Pahang, Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) dan Wetland Studios Putrajaya.

Dinosaur Encounter Area 65 beroperasi dari pukul 11 pagi hingga 6 petang setiap hari Isnin hingga Khamis manakala pada hujung minggu Jumaat hingga Ahad termasuk cuti umum dari 10 pagi hingga 7 petang, dan harga tiket bagi dewasa ialah RM40, manakala kanak-kanak RM30.

Bagi fasa pertama pra-pelancaran terdapat lima sektor dibuka kepada pengunjung iaitu DNA Captures, DNA Dino Lab, Dino Clone Zone, Dino Warp dan Dino Realm VR.

-- BERNAMA