ALOR GAJAH: Sebanyak 463 nelayan di Melaka dan Negeri Sembilan yang terjajas akibat cadangan pembangunan Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) menerima secara keseluruhan bayaran ex-gratia berjumlah RM5.401 juta dalam tiga fasa.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata bayaran fasa pertama tahun 2023 akan diserahkan kepada 463 nelayan yang terdiri daripada 308 nelayan di daerah Alor Gajah, 115 nelayan dari Port Dickson serta 40 nelayan darat di daerah Alor Gajah.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 100,000 diperuntukkan untuk perbelanjaan infrastruktur dan RM1 juta bagi peruntukan pembangunan ekonomi di Kawasan Nelayan Melaka Barat.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penyerahan fasa pertama kepada nelayan yang jejas di Kompleks Japerun Kuala Linggi, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Salleh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Rosli Abdullah.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata kerajaan negeri komited dalam memastikan aspek kebajikan dan kesejahteraan nelayan setempat dari Melaka dan sempadan Negeri Sembilan yang terjejas sumber pencarian diutamakan selain mengambil kira Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).

"Kita harapkan juga pemberian wang sagu hati ini sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada nelayan-nelayan dan menasihatkan agar mereka dapat menggunakan wang ini dengan sebaik mungkin," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya beliau berkata cadangan KLIP itu adalah bertujuan bagi membangunkan ekonomi negeri sama ada dalam jangka masa pendek atau panjang.

Katanya, pembangunan KLIP itu juga akan memastikan Melaka mempunyai pelabuhan yang mampu berdaya saing dan berdaya tahan dalam memacu kemajuan ekonomi negeri.

-- BERNAMA