Seramai 47,093 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditahan menerusi 15,996 operasi yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di seluruh negara sejak 1 Jan hingga 25 Nov lepas.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata JIM sentiasa melakukan operasi penguatkuasaan secara bersepadu yang melibatkan perkongsian sumber dan maklumat risikan di kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan warga asing dan pendatang asing tanpa izin.

"Ia sebagai langkah kawalan untuk memastikan warga asing yang berada di negara ini mematuhi undang-undang," katanya ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat malam ini yang kemudiannya diluluskan.

Mohd Azis berkata kementerian kini dalam usaha menghasilkan pelan holisitik penguatkuasaan terhadap PATI sebagai langkah memperkukuhkan tadbir urus dan menambah baik sistem kerja penguatkuasaan sedia ada.

Katanya, pelan holisitik itu akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun, yang merupakan strategi kerajaan mengatasi permasalahan kebanjiran PATI di negara ini dengan melibatkan kerjasama strategik antara pelbagai kementerian dan agensi.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung hari ini.

-- BERNAMA