MANJUNG: Polis menumpaskan makmal haram yang dipercayai menjadi tempat pemprosesan dan pembungkusan dadah jenis heroin dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Bahru, Lumut di sini pada Selasa.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, serbuan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman itu menahan empat lelaki berusia lingkungan 23 hingga 52 tahun.

"Hasil pemeriksaan yang dilakukan dalam rumah tersebut, pihak polis menjumpai dan merampas sejumlah dadah dipercayai jenis heroin dengan anggaran berat 14,905 gram dan dianggarkan bernilai RM199,727.

"Turut dirampas sejumlah peralatan dan bahan-bahan kimia yang digunakan untuk memproses serta membungkus dadah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, susulan daripada serbuan berkenaan pihak polis turut menahan seorang lelaki berusia 25 tahun di Pokok Assam, Taiping yang dipercayai turut terlibat dalam aktiviti pemprosesan dan pembungkusan dadah jenis heroin itu.

"Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap kesemua suspek mendapati negatif daripada sebarang jenis dadah.

"Empat daripada lima suspek yang ditahan didapati mempunyai rekod kesalahan lampau bersabit kes jenayah dan dadah," katanya

Beliau berkata, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan harta) 1988 dengan menyita sebuah kenderaan dianggarkan berjumlah RM40,000.

"Anggaran nilai keseluruhan rampasan dadah bersama harta yang disita adalah RM239,727," katanya.

Menurutnya, berdasarkan siasatan yang dijalankan, kesemua suspek dipercayai mula aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak awal tahun ini dan terlibat dalam aktiviti pemprosesan dadah sejak awal Mac lalu.

"Dadah yang dirampas, disyaki untuk diedarkan di pasaran tempatan. Dianggarkan jumlah dadah yang dirampas ini boleh digunakan seramai 22,400 orang penagih dadah," katanya.

Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek direman selama tujuh hari mulai Rabu lalu bagi membantu siasatan.