SEBELUM memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu.


1. WHO isytihar koronavirus kecemasan kesihatan global

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak koronavirus yang telah meragut sekurang-kurangnya 170 nyawa sebagai kecemasan kesihatan global.

Ia berikutan kes berkaitan wabak berkenaan meningkat lebih 10 kali ganda dalam tempoh seminggu.

Pengisytiharan itu akan menyebabkan kawalan, pengekangan dan garis panduan perkongsian yang lebih ketat, sekali gus menjejaskan pasaran saham serta ekonomi keseluruhannya.

Dalam perkembangan berkaitan, White House mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas Koronavirus bagi menangani ancaman penularan wabak itu khususnya di Amerika Syarikat (AS).

Jawatankuasa yang dikenali sebagai "Jawatankuasa Khas Koronavirus Presiden" akan membantu kerajaan AS untuk membuat pemantauan dan pengekangan penyebaran virus itu.

Untuk rekod, bilangan jangkitan wabak novel koronavirus ini juga melebihi jumlah jangkitan epidemik Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada tahun 2002-2003.

Ikuti perbincangan berhubung pengisytiharan kecemasan global oleh WHO di saluran 501 Astro AWANI sepanjang pagi ini.



2. Belum ada keperluan henti semua penerbangan dari China - PM

Belum ada keperluan untuk menghentikan semua penerbangan masuk dari China, susulan wabak koronavirus yang setakat ini sudah mengorbankan 170 nyawa di negara itu.

Walaupun begitu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan membuat kajian terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan seumpama itu.

Sementara itu, seramai 14 pengunjung dari wilayah Hubei, China yang cuba mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), berjaya dikesan dan dihalang oleh Jabatan Imigresen Malaysia pada Selasa lalu, ujar Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kesemua mereka, jelas Muhyiddin, dikenakan arahan Tidak Dibenarkan Mendarat (NTL) dan dihantar pulang ke negara asal.



3. Koronavirus: Kabinet setuju pakej rangsangan jika 2019-nCoV terus beri impak pada negara

Kerajaan sedia umum pakej rangsangan jika Novel Koronavirus (2019-nCoV) terus beri impak kepada ekonomi negara ini, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Jelasnya lagi, Kabinet sudah bersiap sedia dengan pakej rangsangan seperti itu sebagai langkah berjaga-jaga akibat perang dagang antara Amerika Syarikat dan China satu ketika dulu.



4. Fokus saringan koronavirus di sempadan darat terhad kepada warga China

Jumlah alat pengesan haba atau thermal scanner yang terhad di sempadan darat Malaysia-Singapura menyebabkan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) hanya melakukan saringan novel koronavirus (2019 n-CoV) terhadap rakyat warganegara China sahaja.

Pakar Kesihatan Awam, Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Dr Azmi Abdul Rahim berkata, terdapat jumlah yang begitu besar melibatkan individu yang melalui kedua-dua kompleks tersebut setiap hari.



5. Malaysia lebih proaktif bendung jangkitan koronavirus berbanding SARS 2002

Tindakan Malaysia membendung penularan penyakit berjangkit 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) disifatkan lebih bersedia, pantas serta proaktif berbanding ketika berdepan wabak berbahaya dahulu seperti Sindrom Penafasan Akut Teruk (SARS), virus Nipah, serta Ebola.

Pakar penyakit berjangkit Datuk Dr. Christopher K.C. Lee berkata, berdasarkan pengalaman negara dalam mengawal kes-kes penyakit berjangkit terdahulu menjadikan Malaysia lebih bersedia termasuk meningkatkan tahap imbasan kesihatan di semua pintu masuk negara serta pengasingan mereka yang dijangkiti wabak itu.