GEORGE TOWN: Pulau Pinang menjangkakan sekitar 50,000 pelancong akan mengunjungi negeri itu hujung minggu ini susulan kebenaran rentas negeri seluruh negara yang bermula hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan negeri, Yeoh Soon Hin berkata, persiapan bagi menyambut kedatangan pelancong sudah pun dilakukan pemain-pemain industri pelancongan di negeri itu.

Soon Hin berkata, Pulau Pinang sememangnya destinasi pilihan pelancong tempatan mahu pun luar negara, dan berharap sektor itu akan kembali 'bernyawa'.

"50,000 dijangka (tiba) hujung minggu... hotel sudah dibuka untuk tempahan pelancongan. Saya rasa ia sudah dibuka sejak sejak minggu pertama dan kedua, dan kebanyakan telah lengkap dua dos vaksin," katanya ketika ditemui pada Isnin.

Beliau turut optimis bahawa aktiviti pelancongan di negeri itu dijangka kembali rancak dengan kehadiran lebih ramai pelancong selepas ini.

Selain itu, katanya tempahan bilik hotel juga dijangka meningkat sehingga 60 peratus pada hujung minggu ini.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan kepada mereka yang merancang untuk melancong ke negeri itu supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah COVID-19.

Mengulas lanjut, Soon Hin berkata tumpuan kerajaan negeri kini adalah kepada pelancongan domestik memandangkan sempadan antarabangsa dijangka akan dibuka pada Jun 2022.

Bagaimanapun, katanya ia masih bergantung kepada negara terbabit sama ada membenarkan kemasukan pelancong atau tidak.

Beliau berkata demikian selepas sidang media program Penang International Travel Exchange (PITE 2021 Digital Show) di Tropical Spice Garden, Teluk Bahang pada Isnin.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Convention & Exhibition Bureau (PCEB), G. Ashwin dan Pengarah Urusan Tropical Spice Garden, Katherine Chua.