Ada banyak hakikat, misteri dan kebenaran-kebenaran tentang lelaki yang tertutup ketat lagi rapat daripada pengetahuan si teman wanita sebelum mereka hidup sebumbung dan tidur sekatil. Namun pabila sudah berkahwin, maka terbukalah pintu-pintu rahsia yang mungkin tidak akan wanita jangka. Mahu tahu apakah ia? Kami ada senarainya
- Dahulu, semasa musim galak bercinta, anda terlopong mendengar ceritanya tentang segala mak-nenek dunia permotoran dan automotif. Selepas berkahwin, anda masih terlopong kerana dia tidak kenal mana satu asam jawa, mana satu asam gelugur.
- Siapa kata lelaki tidak akan main kayu tiga dan lelaki tidak akan menduakan anda. Buktinya, tunggu sahaja selepas anda berdua diijabkabulkan dan kemudian hidup sebumbung. Anda akan tersedar, yang anda rupa-rupanya bermadu dengan kereta atau motornya.
- RM500 untuk sejambak bunga di Hari Kekasih? Apalah sangat… Selepas kahwin, RM50 untuk belanja dapur? ‘’Awak nak cekik darah saya ya?’’
- Anda tahu dan anda mengenali si dia anda itu, dia seorang sports freak. Selepas kahwin, dia masih seorang sports freak; di depan televisyen.
- Kerana dia seorang sports freak, perutnya, semasa zaman bujang, six-packed; ‘berpetak enam’. Selepas kahwin, perutnya berbonjol enam.
- Dia simpati bercampur takut mengenangkan anda harus lalui proses bersalin. Tetapi selepas beranak satu, jadual bersalin anda sama padat dengan tempahan konsert Mawi AF.
- Sampai bila pun lelaki tak akan faham bahawa setiap wanita adalah Imelda Marcos dalam skala kecil.
- Suatu masa dahulu, kala cinta masih panas berdentam-dentum, dia bergayut di telefon dengan anda purata lima jam sehari. Selepas kahwin, jika out-station, dapat lima patah kata SMS daripada dia pun dah dikira cukup bagus.
- Percayalah! Separuh daripada tabiat anda akan berpindah kepadanya selepas kahwin. Melatah, contohnya.
- Jika ‘ditunjuk ajar’, dia mungkin akan lebih rajin mengoles perapi rambut berbanding anda.
- Dia yang gagah perkasa itu rupanya takut pada anak kucing.
- Ada orang berkata, ada beberapa kemahiran istimewa orang perempuan yang akan dapat dipelajari dan ‘diserap’ oleh orang lelaki apabila dia berumahtangga. Tetapi percayalah, sampai bila-bila pun, anda lebih pandai membancuh susu anak.
- Keretanya berhabuk secuit, dia akan mandikan dengan penuh kasih mesra. Bilik air berkulat? Tahun depan pun boleh basuh…
- Baby, Darling dan Honey berganti dengan ‘’Woi’’ , ‘’Hmm…’’ dan ‘’Haa, maknya?’’.
- Berjaga malam untuk tengok bola tidaklah memenatkan seperti kena tukar lampin anak.
- Hanya waktu bersanding dia akan berbaju sedondon dengan anda. Selepas itu, kalau ada persamaan sikit pun dia akan berjalan jauh-jauh. Takut ada tauke ekspo minta main boria agaknya.
- Waktu jadi kekasih, anda habis kerja pukul lima, pukul 4.30 dia sudah terpacak untuk menjemput anda. Selepas kahwin, bila anda minta tolong dia datang jemput, dia akan kata: “Naik LRT boleh? Jalam macam sardin ni!’’
- Bertahun-tahun dia berdikari sebagai orang bujang dan bangga dengan hakikat itu. Selepas kahwin, ‘seluar kecil’nya anda basuh dan dia bangga dengan hakikat itu.
- Letaklah meriam di sebelah telinganya, dia tetap akan melingkar di katil. Tetapi cuba beritahu yang kawannya datang nak ajak tengok bola atau memancing, dia akan bangkit segar-bugar.
- Di kamar, wanita ibarat bulan. Ada waktu-waktu tertentu untuk ‘mengambang’. Lelaki pula ibarat matahari. Oleh kerana itulah, mereka sentiasa ‘terbit bersinar-sinar’ pada waktu pagi.
- Dia berkira duit tol atau minyak bila diajak melawat keluarga sebelah anda walhal sebelum kahwin, ibu anda ‘dirasuah’ dengan buah tangan sehingga tak cukup tangan.
- Jangan suruh dia buang sampah bila dia sedang menonton siaran langsung Formula One.
- Dia boleh basuh pinggannya sendiri tetapi anda yang harus telangkupkannya.
- Dia tidak faham kenapa anda tidak boleh menjamah nenas, timun dan air kelapa selepas usai pantang bersalin.
- Dia suka anda mengandung kerap kerana ketika ini, ‘aset-aset anda’ setara Pamela Anderson.
- Dia yang handsome macam Jehan Miskin itu rupanya mandi 20 saat sahaja.
- Anda bersusah-payah masuk kelas fine dining dengan chef terkemuka di dunia. Ikan masin gorengan ibunya juga yang paling sedap di dunia.
- Sebelum kahwin, dia macam ribut kemas rumahnya apabila anda buat lawatan mengejut. Selepas kahwin, rumah macam kena pukul ribut pun dia tak nampak.
- Sebaliknya, dia seorang yang lebih cerewet dalam bab kemas rumah, mengalahkan ibu anda sendiri. Malah menggubah bunga straw adalah bakat terpendamnya!
- Memang lazim, lelaki, kala berpacaran, rela memanjat shopping complex tujuh tingkat menemani anda membeli baju. Selepas kahwin, anda disuruh beli sendiri baju di pasar malam depan rumah.
- Dia mendengar sepenuh hati setiap kata anda. Selepas kahwin, anak-anak yang akan menjadi agen perantara.
- Anda bercakap dengan lembut mersik 10 kali, dia tidak respon. Anda berteriak sekali, dia balas ‘’Awak ingat saya pekak ke?’’
- Anda minta sedikit dana untuk ‘pengstrukturan semula’ badan anda di gimnasium, maklumlah badan sudah menggeleber sana-sini. Dia suruh anda lari sahaja keliling rumah sambil menjunjung batu giling.
- Berjimat! Harga minyak dan barang-barang dah naik! Tetapi dia masih hisap rokok 10 kotak sehari.
- Bonus hujung tahun ialah untuk up-grade komputernya yang sudah sedia tip-top. Bukan untuk beli baju baru supaya isterinya tip-top.
- Rasulullah saw dahulu pernah sekali pulang lewat. Isteri baginda, Aisyah, menanti penuh setia hingga tertidur. Pabila Rasulullah pulang, Aisyah tidak menjawab panggilan baginda lalu baginda memutuskan untuk tidur sahaja di luar pintu. Esok harinya, Aisyah berkali-kali memohon maaf kerana tertidur malam tadi manakala baginda pula memohon maaf kerana terlewat pulang. Kalau kita? Mungkin dah jadi satu adegan Kungfu Hustle!
- Setiap kali melalui kedai emas atau kedai beg tangan dengan anda, tiba-tiba dia ternampak ‘toyol dan hantu bungkus’. Sebaliknya, ada ‘bidadari’ melambai-lambai dari kedai gadget kegemarannya.
- Kahwinlah berpuluh tahun pun, dia tetap akan bangun lambat setiap kali bermalam di rumah ibunya.
- Selamanya anda ialah diari dan kalendar bergerak dalam keluarga. Jadi tak perlulah minta dia menghafal tarikh lahir semua suku-sakat dan ipar duai sebelah anda.
- Dia tidak akan faham mengapa anda tidak makan nasi supaya berat badan turun. Anda tidak faham mengapa dia hisap rokok sampai indeks kualiti udara di rumah tak turun-turun.
- Syukurlah jika anda berdua suka mendengar siaran radio yang sama.
- Dia yang macho dan cool itu pandai pula merajuk kerana anda ‘terminat’ Felix dan Yazer AF.
- Anda mesti belajar tukar tayar kereta darinya. Dia tak perlu belajar goreng telur dari anda.
- Jangan ajak dia mengumpat Mak Bedah di rumah sebelah ketika dia baru sahaja hendak ‘bermukadimah’ di kamar.
- Walau setinggi mana sayang dan hormatnya dia kepada ibu bapa anda, jangan sesekali bingkaikan potret mereka sebesar-besar alam dan letak pula di tepi katil. Malam-malam bila mood sudah sampai dan rasa hati membuak menggelojak-gelojak, apa pula ceritanya kalau tiba-tiba anda terpandangkan wajah ala emak mentua Kassim Selamat merenung tajam di tepi katil? Bukankah boleh terbantut dibuatnya!
- Dia mahu anda tampil jelita sentiasa. Dia tidak mahu lihat bagaimana prosesnya,apatah lagi yang melibatkan bedak sejuk dan masker 2 inci.
- Dia mahu anda bersolek dan bergaya di rumah. Tetapi anda tetap kena masuk dapur menumis sambal.
- Selepas kahwin, dia yang pendiam dan sentiasa kawal macho itu tidak segan-segan lagi bergelek gerudi di tengah rumah malah siap jadi koreografer untuk anak-anak.
- Dia dahulunya ialah Ketua Pengawas, Kapten Bola Sepak dan Kapten Asrama yang berdisiplin lagipunctual. Selepas kahwin, sungguh ajaib jika dia boleh bangun tidur lebih awal dari anda.
- Dia mencintai dan menerima anda seadanya. (Tetapi Angelina Jolie tetap wanita paling gorgeous di dunia).
Teks: RAIHANI MOHD. SAAID