Seramai 50 pimpinan wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri ini diketuai Naib Ketua Wanitanya, Nor Ashidah Ibrahim hari ini mengisytihar keluar daripada parti berkenaan.

Nor Ashidah yang juga Exco Wanita PKR pusat itu, berkata kesemua mereka membabitkan Bendahari Wanita PKR Johor Siti Noraini Md Jani dan pelbagai peringkat kepimpinan wanita negeri dan 18 cabang.

"Keputusan dibuat kerana kami telah hilang kepercayaan kepada tampuk kepimpinan. Mengambil contoh tindakan disiplin, penggantungan Ketua Wanita PKR Pusat Haniza Talha, alasan yang diberikan adalah sangat tidak berasas dan tidak adil sama sekali," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Nor Ashidah, yang juga Ketua Wanita Cabang Sembrong berkata, kesemua cabang yang terlibat adalah dari Cabang Tenggara, Mersing, Sembrong, Johor Bahru, Pasir Gudang, Pulai, Muar, Pontian, Tanjung Piai, Sri Gading, Sekijang, Simpang Renggam, Batu Pahat, Ayer Hitam, Ledang, Pagoh, Labis serta Tebrau.

Menurut Nor Ashidah, buat masa ini beliau dan rakan-rakan tidak akan menyertai mana-mana parti dan akan memberikan tumpuan sepenuhnya di dalam badan bukan kerajaan (NGO) Penggerak Komuniti Negara (PKN) dan Nation of Women (NOW).

-- BERNAMA