Kira-kira 50 rakyat Korea Utara di Sarawak akan dihantar pulang dalam masa terdekat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengesahkan perkara tersebut berkata, proses dokumentasi penghantaran pulang sedang disiapkan.

"Di Sarawak terdapat kira-kira 50 warga Korea Utara di sana.

"Oleh sebab Akta Imigresen di Sarawak adalah berbeza dengan Akta Imigresen (di Semenanjung Malaysia) maka perbincangan telah diadakan dengan Ketua Menteri (Datuk Abang Johari Tun Openg) dan keputusan ini akan saya sampaikan secara rasmi kepada beliau pada hari ini.

"Mereka kini berada di depoh tahanan sementara di Sarawak dan selepas dokumentasi penghantaran pulang mereka selesai, maka kita akan melakukan penghantaran," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Katanya, terdapat kira-kira 315 rakyat Korea Utara yang bekerja di Malaysia.

Berhubung perkembangan terkini proses tuntutan mayat Kim Jong Nam, beliau turut mengesahkan proses pengawetan telah dilakukan terhadap si mati bagi mengelak pereputan.