PUTRAJAYA: Kerajaan telah memuktamadkan pelaksanaan fasa pertama program penghantaran pulang secara sukarela membabitkan 5,000 pelarian rakyat Myanmar yang layak ke negara asal.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan, bagi tahun 2026, seramai 5,000 individu akan menjalani proses penghantaran pulang berkenaan secara berperingkat sebagaimana yang dipersetujui oleh Kerajaan Republik Kesatuan Myanmar.
Menurut KDN, bagi kumpulan pelarian yang lain iaitu seramai 4,008 orang terutamanya membabitkan etnik Rohingya, mereka akan didaftarkan ke bawah Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP).
"Bagi fasa pertama program penghantaran pulang secara sukarela ini, seramai 1,476 warga Myanmar yang telah dikenal pasti oleh Kerajaan Myanmar akan dihantar pulang pada 29 September 2026.
"Tarikh tersebut dipersetujui dalam Mesyuarat Penyelarasan melibatkan KDN, Kementerian Luar Negeri, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Pertahanan selepas mengambil kira keperluan logistik serta penyelarasan, berbanding cadangan asal Kerajaan Myanmar pada 28 Ogos.
"Proses penghantaran pulang fasa pertama berkenaan akan menggunakan dua buah kapal perang dan sebuah kapal hospital milik Tentera Laut Myanmar," menurut kenyataan itu.
KDN menjelaskan, sehingga 15 Ogos 2026, terdapat seramai 10,388 warga Myanmar yang berada di Depot Tahanan Imigresen di seluruh negara.
Bagaimanapun, kementerian itu menegaskan bahawa jumlah berkenaan merangkumi semua rakyat Myanmar yang ditahan dan tidak boleh dianggap keseluruhannya sebagai pelarian.
"Jabatan Imigresen Malaysia dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia sedang melaksanakan proses DPP bagi mengesahkan identiti, kewarganegaraan, status imigresen, tuntutan pelarian serta latar belakang keselamatan setiap individu yang dijangka selesai pada suku keempat tahun ini.
"Kerajaan melaksanakan pendekatan dua cabang yang saling melengkapi iaitu rundingan diplomatik bersama Kerajaan Myanmar bagi penghantaran pulang secara teratur, serta pelaksanaan program DPP bagi mendata pelarian dan pemohon suaka," jelas KDN.
Kementerian itu menambah, lebih 95 peratus pelarian di Malaysia berasal dari Myanmar termasuk etnik Rohingya, Chin, Karen dan Mon, sekali gus memerlukan penyelesaian menyeluruh secara diplomasi dua hala dan bukan tindakan unilateral.
Pada masa sama, KDN menegaskan Malaysia kekal bukan Negara Pihak kepada Konvensyen mengenai Status Pelarian 1951 atau Protokol 1967, dan pelaksanaan DPP mencerminkan pendekatan ihsan berasaskan undang-undang serta kedaulatan keselamatan negara bagi menoktahkan masalah legasi yang berlarutan selama berpuluh tahun.