PEMBERIAN dos suntikan vaksin di negara ini terus meningkat dengan sejumlah 512,097 dos diberikan pada Jumaat, menjadikan angka keseluruhan lebih 20 juta dos setakat ini.

Menerusi hantaran di Twitter, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba memaklumkan, daripada jumlah itu, sebanyak 315,737 merupakan pemberian dos pertama.

"Sebanyak 196,360 dos pula adalah pemberian dos kedua bagi tempoh sama," katanya.


Dr Adham memaklumkan setakat ini 13.5 juta penduduk sudah menerima suntikan dos pertama sementara 6.5 juta penduduk telah melengkapkan suntikan dua dos.

Dengan ini katanya, 41.3 peratus daripada keseluruhan populasi negara telah mendapat dos pertama manakala 19.9 peratus populasi lagi sudah mendapat dua dos.

Dr Adham turut memaklumkan lima negeri tertinggi mencatatkan pemberian dos pertama dan kedua pada Selasa iaitu Selangor dengan 159,641 orang diikuti Kuala Lumpur (91,128), Perak (31,776), Sarawak (30,335) dan Negeri Sembilan (26,850).

Menurutnya lagi, 66.1 peratus daripada penduduk Lembah Klang sudah divaksinasi dos pertama dengan 25.1 peratus sudah melengkapkan dua vaksin.