KOTA KINABALU: Sebanyak 52 kes didaftarkan untuk dibicarakan di Mahkamah Anak Negeri Daerah (MAND) Kota Kinabalu sejak 2012 hingga kini.

Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam kenyataan memaklumkan daripada jumlah itu, tujuh kes didaftarkan untuk dibicarakan di MAND Kota Kinabalu tahun ini, dan mahkamah itu terletak di Tingkat 7, Bangunan Centre Point di sini di bawah kawal selia Jabatan Perundangan DBKK.

Menurutnya mahkamah itu yang beroperasi berdasarkan Enakmen Mahkamah Anak Negeri (Pindaan) 2011, memperuntukan Mahkamah Anak Negeri Daerah hendaklah terdiri daripada Mayor suatu bandar raya sebagai ketua serta dua orang ahli lain iaitu Ketua Daerah atau Ketua Anak Negeri.

"Kes-kes yang dibicarakan pada peringkat MAND adalah kes-kes semakan atau rayuan ke atas mana-mana keputusan penghakiman Mahkamah Anak Negeri daripada pihak-pihak yang berkepentingan dalam kes tersebut," menurut kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu, setiap orang asal Sabah boleh memfailkan kes di mana-mana MAND untuk kes-kes yang melibatkan pelanggaran undang-undang atau adat negeri.

Adat negeri termasuklah perihal pertunangan, perkahwinan, perceraian, pengambilan anak angkat, penjagaan budak, belanja anak-anak, pertikaian sempadan tanah, hadiah atau pewarisan dengan wasiat dan tanpa wasiat.

Kenyataan DBKK itu bagi memaklumkan perbicaraan MAND Kota Kinabalu yang pertama tahun ini diadakan pada Rabu lepas (7 Feb) melibatkan kes pertikaian lot tanah kampung di Kampung Tenggiling, Menggatal yang berada dalam kawasan DBKK.

Hakim MAND itu tersebut diketuai Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah diiringi dua hakim pengapit daripada Mahkamah Anak Negeri iaitu Ketua Daerah OKK Edna Jessica Majimbun dan Ketua Anak Negeri Roger Meylin Impou.

-- BERNAMA