Sebanyak 57 kediaman di tujuh buah kampung mengalami kerosakan akibat kejadian ribut yang melanda daerah ini, petang Isnin.

Kejadian pada jam 5 petang itu menyebabkan rumah menjadi tempat berlindung bagi 55 buah keluarga itu mengalami kerosakan pada bumbung.

Menurut Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri, Zainal Yusof, kampung yang terjejas teruk adalah Kampung Haji Ali dengan 42 buah rumah terlibat diikuti Kampung Batu Satu (7 buah rumah) dan Kampung Chengal (3 buah rumah).

Kedaan dari dalam sebuah rumah yang keseluruhan bumbungnya tercabut diterbangkan angin ribut. - APM

"Sebanyak dua buah rumah terjejas di Kampung Bangau Parit dan masing-masing sebuah rumah di Kampung Paya Kechik, Kampung Paya Dalam dan Kampung Tebing Tinggi Sanggang," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Surau Kampung Haji Ali telah dibuka untuk menempatkan mangsa terlibat.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Zulkhairi Zainol Abidin berkata, JKM dengan kerjasama pelbagai pihak telah menyerahkan kesemua kelengkapan asas seperti selimut, tikar, toto, kit bencana, kain pelikat dan kain batik manakala makan-minum juga telah disediakan di Pusat Pemindahan Sementara.

"Setakat ini lima keluarga ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara di Surau Kampung Haji Ali, selebihnya menumpang di rumah saudara mara masing-masing," katanya.