PUTRAJAYA: Proses permohonan rayuan bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin untuk menyertai semula parti itu dijangka tidak akan mengambil masa yang lama, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Zambry yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata rayuan Khairy akan dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO dan Naib Presiden Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah dilantik sebagai Pengerusi Teknikal bagi menilai proses itu.
Advertisement
“Saya lihat pertemuan semalam (Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Khairy) itu telah memberi petunjuk yang sangat baik kerana kedua-duanya dapat bertemu dalam suasana yang penuh harmoni.
“Saya yakin ia tidak akan mengambil masa yang panjang kerana ini merupakan satu proses yang cepat, kerana ia adalah merupakan idea daripada Presiden untuk menubuhkan Rumah Bangsa bagi membawa balik bekas-bekas ahli,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas Forum Ilmuwan Malaysia MADANI yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN hari ini memaklumkan telah menerima surat rayuan daripada Khairy untuk kembali menyertai parti itu semalam.
Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan dipecat daripada parti itu pada 23 Jan 2023 atas sebab pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan UMNO selepas Pilihan Raya Umum ke-15.
Sementara itu, Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi memuji kesetiaan bekas Ahli Parlimen Rembau itu terhadap UMNO meskipun menghadapi banyak kesukaran dalam arena politik.
“Sejak dari awal sehinggalah sekarang, walaupun beliau (Khairy) menghadapi masalah, beliau tetap berada dalam UMNO dan jiwanya adalah jiwa UMNO.
“Saya juga mengucapkan terima kasih juga kepada Presiden UMNO itu sendiri yang telah membuka ruang dengan idea beliau untuk membentuk 'Rumah Bangsa', mengembalikan mereka semula,” katanya.
Sementara itu, Zambry berkata pelaksanaan ‘Rumah Bangsa’ membuktikan Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri adalah seorang pemimpin yang berjiwa besar dan tidak memandang sejarah lepas.
“Ini merupakan satu proses yang penuh beradab dalam konteks politik UMNO dan juga politik Malaysia. Saya harapkan agar ada sinar baru dalam kita memperkukuh politik UMNO dan juga politik nasional secara keseluruhannya.
“Hal ini kerana kita ingin melihat politik negara kita sentiasa stabil dengan tokoh-tokoh yang ada yang dapat memberikan sumbangan kepada pembangunan negara kita,” katanya.
Mengenai kritikan terhadap idea ‘Rumah Bangsa’, Zambry berkata sesetengah parti politik mengkritik idea berkenaan kerana merasakan bahawa ia akan memberi cabaran politik.
“Presiden UMNO menyebutkan tentang ‘Rumah Bangsa’ ini terbuka untuk kita berbincang… ini tempat untuk musyawarah melibatkan pelbagai parti dan isu yang menyentuh tentang Islam dan Melayu. Kita bawa semua, kita bincang sama,” katanya.
-- BERNAMA