Skip to main content

Bisnes

Ringgit mengukuh berbanding dolar AS dan mata wang utama susulan sentimen serantau stabil

81750163916_wangringgitgaji.jpg
Pada 6 petang, ringgit mengukuh ke paras 3.9260 /9310 berbanding dolar AS daripada 3.9365/9410 yang dicatatkan pada Jumaat lepas. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Ringgit mengakhiri urus niaga Isnin dengan lebih mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang utama lainnya ketika pasaran memaparkan sentimen serantau dan risiko global lebih stabil yang hanya melemahkan dolar AS di tengah-tengah permintaan terhadap aset selamat.

Pada 6 petang, ringgit mengukuh ke paras 3.9260 /9310 berbanding dolar AS daripada 3.9365/9410 yang dicatatkan pada Jumaat lepas.

Advertisement

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata pasaran juga sedang meneliti aliran minyak yang melintasi Selat Hormuz, terutama perkapalan ke destinasi India dan China yang kelihatan bergerak secara selamat.

“Pada masa sama, peniaga turut meneliti keberkesanan pelbagai langkah sementara oleh negara-negara Kumpulan Tujuh (G7), termasuk pelepasan stok simpanan minyak petroleum strategik yang diselaras serta kemungkinan keperluan tentera mengiringi kapal-kapal komersial,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata minyak mentah Brent yang juga penanda aras global, terus meningkat ke paras US$106.17 setong susulan konflik Asia Barat yang berlanjutan, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai aliran minyak dan gas dari rantau berkenaan.

“Serangan kedua berlaku dalam tempoh tiga hari di Pelabuhan Fujairah, Emiriah Arab Bersatu ketika Presiden AS Donald Trump meminta bantuan negara-negara lain dalam memastikan keselamatan kapal yang melintasi Selat Hormuz,” katanya.

Setakat petang ini, Brent diniagakan pada paras 1.52 peratus lebih tinggi pada AS$104.71 setong.

Dalam pada itu, ringgit juga mengukuh berbanding mata wang utama lain, termasuk meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.4639/4672 daripada 2.4683/4715 pada Jumaat lepas, naik berbanding pound Britain pada 5.2008/2074 daripada 5.2214/2273 dan tinggi berbanding euro kepada 4.4945/5002 daripada 4.5093/5144.

Ringgit turut mencatat prestasi mengukuh berbanding kebanyakan mata wang ASEAN.

Ini termasuk naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0650/0692 daripada 3.0730/0767 Jumaat lepas, melantun berbanding baht Thailand kepada 12.0644/0857 daripada 12.1862/2062 dan mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 230.9/231.3 daripada 232.1/232.5.

Berbanding peso Filipina, ringgit diniagakan meningkat kepada 6.55/6.56 daripada 6.59/6.60 sebelum ini.

-- BERNAMA

Must Watch Video