MANILA: Kesemua 59 rakyat Malaysia yang berdaftar di Mindanao berjaya dihubungi dan dilaporkan berada dalam keadaan selamat susulan gempa bumi kuat yang melanda selatan Filipina pada pagi Isnin.
Konsul Jeneral Malaysia di Davao City, Deddy Faisal Ahmad Salih berkata, pihak konsulat telah berjaya menghubungi kesemua rakyat Malaysia yang berdaftar dan mereka mengesahkan berada dalam keadaan selamat.
Katanya, gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter itu melanda kawasan Sarangani sekitar jam 7.37 pagi dan pihak berkuasa tempatan masih mengekalkan amaran tsunami sehingga dimaklumkan kelak.
Beliau turut menggesa rakyat Malaysia yang menetap di Mindanao supaya terus berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan serta peka terhadap perkembangan semasa.
Menurutnya, rakyat Malaysia yang berada di selatan Filipina juga disaran mendaftarkan diri dengan Konsulat Jeneral Malaysia di Davao City bagi memudahkan pemantauan aspek kebajikan dan keselamatan mereka.
Dalam perkembangan sama, Deddy berkata pihak berkuasa tempatan telah mengeluarkan amaran tsunami serta mengarahkan penutupan sekolah dan pejabat kerajaan di beberapa kawasan yang terjejas.
Beliau turut memaklumkan gegaran susulan dijangka berlaku dan mungkin berterusan dalam tempoh tertentu.
Sehubungan itu, pihak konsulat menasihatkan rakyat Malaysia di kawasan terlibat supaya memastikan peranti komunikasi sentiasa dicas, memantau pengumuman rasmi daripada pihak berkuasa serta memaklumkan ahli keluarga mengenai lokasi dan status keselamatan masing-masing.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Davao City melalui pegawai bertugas di talian +63 951 816 6125.
Konsulat Jeneral Malaysia di Davao City memaklumkan pihaknya akan terus memantau situasi semasa dengan rapi dan menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa apabila perlu.