Pejam celik tanpa kita sedari, sudah lebih 24 tahun kita menggalas satu impian yang diilhamkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sejak tahun 1991 lagi.

Wawasan 2020 merupakan sebuah misi negara dalam mencapai kecemerlangan bidang ekonomi, politik, sosial, kerohanian dan psikologi.

Turut dititikberatkan soal perpaduan nasional, kestabilan politik, mutu hidup, nilai sosial dan kerohanian, maruah bangsa, serta keyakinan.

Sembilan cabaran pula membentuk acuan gagasan Wawasan 2020.

Antaranya adalah untuk mewujudkan masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram, dan maju dan menuntut mereka yakin akan keupayaan diri sendiri.


Penerapan ciri holistik

Bagi duta Yayasan Varkey Gems, Yasmin Noorul Amin, 38, peranan pendidik dalam memastikan penerapan ciri tersebut dalam kalangan generasi muda adalah amat penting bagi mewujudkan masyarakat berkeyakinan dan berintegriti, seiring dengan kehendak Wawasan 2020.

Guru yang disenarai pendek antara 50 dalam Anugerah Hadiah Guru Global ini berpendapat para pendidik perlu menjadi role model supaya boleh menjadi contoh ikutan buat golongan muda yang menjadi bakal pemacu negara ini.

“Pada pandangan saya sebagai pendidik, saya berasakan masyarakat memerlukan seseorang sebagai contoh teladan yang mempunyai kaliber tinggi, bagi menerap sikap yakin dan percaya dalam diri mereka sendiri.

“Mereka yang berkaliber tinggi adalah mereka yang mempunyai integriti tinggi, keyakinan diri, abiliti kepimpinan yang baik dan mempunyai kesimbangan yang baik dalam IQ (tahap kecerdasan) dan EQ (kecerdasan emosi).

Lantaran itu, Yasmin percaya peranan para guru dan sistem pendidikan perlu dititikberatkan untuk memupuk masyarakat maju dan berjiwa bebas.

Menampilkan kelainan menjadi hala tuju guru dan matlamat guru mata pelajaran kimia ini ketika mengajar anak-anak muridnya.

Jika kaedah pengajaran tradisional sekadar melontarkan teori-teori dan bereksperimen dalam makmal kelas, Yasmin mengguna pakai pendekatan berbeza dalam mengajar anak muridnya supaya berani menghadapi cabaran.


Konsep Ciesta

Dalam cabaran Wawasan 2020 ini juga memastikan masyarakat Malaysia dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, amat sedar akan semua potensinya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati oleh rakyat negara lain.

Bagi menggilap potensi yang beliau percaya hadir dalam diri setiap anak muridnya, Yasmin melakukan satu inovasi yang dinamakan Ciesta bagi membolehkan pelajarnya sentiasa fokus dalam pelajaran.

Konsep ini digunakan apabila beliau memberi pelajar masa untuk berehat sebentar dan meminta mereka untuk memikirkan perkara-perkara yang gembira. Ketika ini juga beliau akan memainkan muzik.

Walaupun bunyinya mudah, namun teknik yang diguna pakai Yasmin berjaya menambat pelajar untuk kembali fokus dalam pembelajaran.


Testimonial

Bekas anak muridnya, Shughes Balakrishnan, 19 ketika ditemui Astro Awani di SMK La Salle berkata didikan Yasmin memberi keyakinan kepadanya untuk mencuba pelbagai eksperimen di hadapan perhimpunan sekolah.

Sughesh percaya ilmu yang dipelajarinya di dalam makmal bersama Yasmin perlu dikongsi bersama rakan-rakan sekolahnya.

“Puan Yasmin memberikan saya peluang dan kepercayaan untuk mencuba sesuatu yang tidak selalu dilakukan oleh guru-guru lain,” ujar Sughesh.

Shughes Balakrishnan ketika dia masih di SMK La Salle, Petaling Jaya mendapat keyakinan untuk membuat persembahan Sains di hadapan rakan-rakannya selepas diberi peluang oleh gurunya, Yasmin Noorul Amin.
Bagi pelajar University of Warwick, England yang juga merupakan bekas didikan Yasmin, Mark Low berkata selain sikap penyayang, Yasmin juga mempunyai cara pengajaran yang inovatif, dan kreatif.

“Dia memberi peluang kepada kami untuk melakukan sesuatu yang berbeza. Saya memang tidak boleh menafikan dedikasinya dalam mengajar dan meluaskan ilmu pengetahuannya.

"Walaupun klise bunyinya, saya mahu katakan saya tidak tahu di mana saya akan berada jika tidak kerana didikan Puan Yasmin,” ujar Mark.

Selain itu, ibu kepada seorang pelajar, Farah Fuad, berasa memang wajar Yasmin dicalonkan untuk Anugerah Hadiah Guru Global ekoran motivasi yang ditunjukkannya.

“Cikgu Yasmin menunjukkan segala aspek murni sebagai pendidik. Sukar bagi seorang cikgu mendidik lebih tujuh jam sehari. Namun beliau sentiasa mempunyai motivasi untuk mendidik muridnya.

“Suatu hari, anak saya pulang ke sekolah dan berkata Cikgu Yasmin memainkan muzik dalam kelasnya. Dan saya bertanya, kenapa muzik? Apa kaitannya dengan subjek kimia? Ia sangat berbeza.

“Namun saya lihat Cikgu Yasmin tahu ia merupakan subjek yang berat dan boleh menyebabkan anak muridnya hilang fokus. Jadi tindakan beliau memberi peluang kepada pelajar untuk rehat sebentar sebelum kembali fokus kepada pembelajaran."


Penuh iltizam dan jati diri
Itulah yang dilakukan Yasmin, yang percaya dirinya seorang pendidik yang mempunyai peranan besar dalam membentuk masyarakat berkaliber untuk generasi akan datang.

Pendekatan Cikgu Yasmin ini seiring dengan impian menuju 2020 yang diilhamkan Tun Mahathir.

“Masyarakat memerlukan satu tunggak, atau seseorang yang merendah diri yang mereka boleh contohi.

"Mereka juga memerlukan jaminan bahawa negara boleh dibina dengan cara yang positif, dengan itu menjamin masa depan negara kita ke arah merealisasikan Wawasan 2020," jelas Yasmin mengakhiri perbualan.