Jabatan Kesihatan Sarawak telah mengenal pasti 6,022 kontak kes positif COVID-19 di bahagian Kuching.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, daripada jumlah itu, seramai 3,538 orang telah menjalani ujian saringan manakala selebihnya belum berbuat demikian.

Sehubungan itu, JPBN Sarawak menerusi pegawai Jabatan Kesihatan negeri akan menghubungi kontak-kontak yang telah dikenal pasti melalui panggilan telefon mulai Isnin, 20 April ini untuk memberi arahan tindakan yang perlu diambil.

"Ädalah menjadi harapan agar semua kontak berkaitan memberi kerjasama baik untuk menjawab panggilan telefon yang akan dibuat dan mematuhi semua arahan yang diberikan.

"Ini kerana amat penting bagi semua kontak disaring dalam memastikan rantaian jangkitan dapat diputuskan dan diharap memberi impak yang positif dalam meratakan lengkung," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Usaha pengesanan ini dilakukan pasukan khas bertindak pertama mengenai mempercepatkan pendataran lengkung sekali gus menyediakan pelan tindakan dalam usaha mengurangkan kes positif COVID-19 di Sarawak.

Sementara itu, menerusi kenyataan sama, Sarawak merekodkan lima kes baharu positif COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri itu sebanyak 408 kes.

Tambah kenyataan lagi, kesemua lima kes baharu itu dirawat di Hospital Umum Sarawak.

"Sebanyak 99 kes baharu individu di bawah siasatan (PUI) dilaporkan dan 95 kes PUI masih menunggu keputusan makmal," katanya.