KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara mengesahkan menerima kertas siasatan berkait kehilangan wang berjumlah AS$6.94 juta daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menerusi satu kenyataan media, jabatan itu berkata kertas siasatan itu diterima Bahagian Pendakwaan Pejabat Peguam Negara pada 28 September 2021 (semalam).

"Bahagian ini akan mengkaji dengan teliti dan menyeluruh sebelum sebarang keputusan sama ada untuk membuat pertuduhan atau mengeluarkan arahan untuk siasatan lanjut," memetik kenyataan itu.

SPRM sebelum ini menahan tiga pegawainya selepas bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid membuat laporan bahawa sejumlah besar wang tunai yang dirampas dalam siasatan terhadapnya pada 2018 hilang.

Hasanah didakwa pada 2018 dalam kes pecah amanah (CBT) yang melibatkan RM50.4 juta milik kerajaan.

SPRM merampas wang tunai dan barang-barang lain daripadanya berkaitan dengan siasatan.

Pada April, mahkamah memutuskan Hasnah dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada pertuduhan dan perbicaraan kes.

Berikutan itu, beliau ke SPRM untuk menuntut wang tunai yang dirampas dan mendapati RM25 juta telah hilang.