SUNGAI PETANI: Lima lelaki termasuk remaja 16 tahun direman bagi membantu siasatan kes mencederakan seorang lelaki yang dipercayai menjalinkan hubungan dengan isteri orang di sebuah hotel di Jalan Padang Temusu, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, mahkamah membenarkan tempoh reman selama empat hari ke atas lima suspek berusia 25 dan 42 tahun manakala remaja 16 tahun direman sehari.

Beliau berkata semua mereka ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh tanpa senjata.

Menurut Zaidy, kejadian dipercayai berpunca disebabkan mangsa lelaki berusia 42 tahun dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan isteri salah seorang daripada lima lelaki berkenaan.

Katanya dalam kejadian itu mangsa cedera di kepala, muka dan paha kiri akibat dipukul kumpulan lelaki itu.

“Polis mendapat laporan jam 1 tengah hari dan hasil maklumat daripada seorang saksi, semua suspek menaiki kereta jenis Proton Wira berwarna biru dan susulan itu, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Kuala Muda menahan enam lelaki berusia antara 16 tahun hingga 42 tahun untuk membantu siasatan.

"Hasil siasatan yang dilakukan mendapati, kumpulan individu itu dikatakan bertindak demikian kerana mangsa dikatakan menjalinkan hubungan dengan isteri salah seorang suspek yang berusia 33 tahun," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zaidy berkata, hasil siasatan mendapati, tiada sebarang senjata digunakan dalam kejadian itu.

Katanya, lima daripada suspek yang ditahan mempunyai rekod kesalahan berkaitan jenayah dan dadah kecuali remaja berusia 16 tahun. Mangsa yang dibelasah turut mempunyai tujuh rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

Zaidy berkata, kesemua mereka mengenali antara satu sama lain dan hasil ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada yang ditahan termasuk mangsa positif dadah manakala tiga lain negatif.