Enam kes baharu Kluster Benteng Lahad Datu (LD) dikesan di Penjara Tawau, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, empat pesakit yang juga banduan di penjara itu mempunyai sejarah pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu dan mempunyai kontak rapat dengan kes indeks.

"Kesemua banduan itu kemudian telah pulang ke Penjara Tawau pada 28 Ogos lalu dan seterusnya menjangkiti dua lagi banduan baharu di penjara berkenaan.

"Kesemua kes positif baharu didapati tidak bergejala dan dimasukkan ke Hospital Tawau," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sehingga kini, katanya seramai 336 orang telah disaring daripada kluster itu.

Daripada jumlah itu, 14 kes dikesan positif COVID-19, manakala 123 individu negatif dan 199 individu masih menunggu keputusan.

"Jumlah saringan yang telah dilaksanakan bagi kluster ini melibatkan 121 orang banduan, 83 orang kakitangan penjara, 68 orang ahli keluarga kakitangan dan banduan.

"Selain itu, 61 anggota polis dan tiga orang pegawai agensi kerajaan yang lain turut menjalani ujian," katanya.