TELUK INTAN: Enam remaja lelaki ditahan setelah dipercayai terbabit dalam kes rogol berkumpulan seorang pelajar perempuan Tingkatan 2, di sebuah rumah di Hutan Melintang, di sini, September lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, lima daripada remaja tersebut merupakan pelajar dari sekolah sama dengan mangsa, manakala seorang lagi sudah berhenti sekolah.

Menurut Ahmad Adnan, pihaknya menerima aduan berhubung kejadian tersebut daripada ibu mangsa pada Selasa lalu, jam 8.30 malam.

"Kejadian itu telah dimaklumkan oleh pihak sekolah kepada ibu mangsa sebelum laporan polis dibuat.

"Kejadian dipercayai berlaku pada 24 September lalu pada jam kira-kira 2.30 pagi di sebuah rumah sekitar Hutan Melintang.

"Mangsa yang berusia 14 tahun telah dijemput oleh seorang rakan sekolah yang dikenali dan dibawa ke rumah tersebut.

"Semasa tiba di tempat kejadian, terdapat beberapa orang lelaki yang dikenali sedang berehat di rumah tersebut.

"Mangsa kemudiannya diajak melakukan hubungan seks secara bergilir-gilir oleh lima lelaki warga tempatan berusia antara 15 hingga 17 tahun, kecuali yang membawa mangsa datang ke rumah tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ahmad Adnan berkata, bertindak atas maklumat tersebut, pada Rabu, 18 Oktober, pihak polis telah menangkap enam suspek.

"Kesemua suspek telah direman selama tiga hari bermula 18 hingga 20 Oktober.

"Memandangkan mangsa masih di bawah umur, pihak polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 375b Kanun Keseksaan iaitu rogol berkumpulan.

"Siasatan ke atas kes ini dianggap selesai oleh pihak polis. Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut," katanya lagi.