Skip to main content

Malaysia

225 petugas perubatan berkhidmat musim haji 1447H

225 orang bakal Petugas Haji (Perubatan) dalam Majlis Perjumpaan bersama Pengurusan Tertinggi KKM di Putrajaya.
Dr Dzulkefly menyantuni 225 bakal petugas berkenaan pada majlis perjumpaan bersama pengurusan tertinggi Kementerian Kesihatan (KKM) di Putrajaya. - Foto Facebook/Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR: Seramai 225 petugas perubatan Malaysia akan berangkat ke Tanah Suci minggu depan bagi bertugas pada musim haji 1447H/2026M.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata di sebalik cabaran geopolitik di Asia Barat ketika ini, kelancaran urusan haji terus terjamin hasil diplomasi kukuh Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Kerajaan Arab Saudi.

Advertisement

“Apabila kerajaan telah mengusahakan yang terbaik, saya menaruh harapan agar petugas di lapangan menyambutnya dengan komitmen perkhidmatan yang paling cemerlang. Operasi tahun ini juga menuntut pasukan kita bertindak lebih tangkas dan dinamik.

“Ketiadaan pusat rawatan kendalian Tabung Haji (TH) bermakna jemaah akan dirujuk terus ke hospital Kerajaan Arab Saudi. Pastinya kelancaran urusan ini menuntut tahap proaktif, kesabaran dan diplomasi yang tinggi daripada petugas,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Terdahulu, Dzulkefly menyantuni 225 bakal petugas berkenaan pada majlis perjumpaan bersama pengurusan tertinggi Kementerian Kesihatan (KKM) di Putrajaya.

Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada petugas berkenaan yang bakal memikul tanggungjawab menyantuni Dhuyufur-Rahman (tetamu Allah), selain mengingatkan mereka supaya menggalas amanah yang diberikan demi negara, agama dan kemanusiaan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video