KLANG: Insentif Rumah Selangorku 3.0 yang diperkenalkan kerajaan negeri ini dijangka mampu menambah stok Rumah Selangorku dengan sasaran 60,000 unit bakal ditawarkan menjelang 2025, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata dasar baharu yang berkuat kuasa pada 3 Jan lepas merupakan inspirasi kerajaan negeri dalam menawarkan pilihan baharu bagi projek Rumah Selangorku.

Menurut Amirudin Rumah Selangorku 3.0 adalah penambahbaikan dasar baharu yang dibuat kerajaan negeri dengan mengambil kira pelbagai aspek seperti zon pembangunan, komponen pembangunan, speksifikasi, kawalan pembangunan dan penguatkuasaan.

"Apa yang menarik berkenaan dasar Rumah Selangorku 3.0 adalah ia menawarkan pilihan unit berdasarkan kepada keperluan iaitu golongan bujang untuk jenis solo (satu bilik) manakala golongan berkahwin untuk jenis duo (dua bilik), trio dan quad (tiga bilik)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Kepada Pembeli Rumah Selangorku dan Penyerahan 30 unit Skim Smart Sewa bagi Projek Rumah Selangorku Kemuning Idaman di sini hari ini.

Amirudin berkata harga jualan yang ditawarkan untuk projek itu bermula daripada RM114,750 seunit hingga RM250,000 seunit termasuk kos guaman, memorandum pemindahan dan kos penyelenggaraan selama dua tahun oleh pemaju.

"Melalui dasar baharu ini, kita sudah melangkah satu era baharu dalam pembangunan perumahan yang lebih mampan dan kondusif dan diharapkan ia dapat memberikan momentum yang baik dalam merancakkan sektor pembinaan perumahan di Selangor," katanya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata setakat 1 Jan lepas sebanyak 386 projek telah diluluskan oleh kerajaan negeri melibatkan 221,671 unit Rumah Selangorku termasuk rumah MBI Idaman dan Rumah Harapan dengan 93 projek daripadanya yang melibatkan 33,071 unit siap dibina dan diserahkan kunci.

Selain itu, sebanyak 61 projek dalam pembinaan melibatkan 16,965 unit Rumah Selangorku manakala bakinya masih dalam peringkat perancangan untuk mendapatkan kelulusan pembangunan daripada pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan.

-- BERNAMA